KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) mungkin tidak akan menarik diri sepenuhnya daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), kata pakar pelaburan global.

Ekonomi terbesar dunia itu mungkin mengambil tindakan lain dengan membuat rundingan semula atau mewujudkan perjanjian perdagangan bebas baharu.

Pengarah Urusan BlackRock Asset Management North Asia Limited, Steven Moeller, berkata adalah lebih baik TPPA dilaksanakan bagi meneruskan perdagangan bebas di seluruh dunia.

Katanya, bagi negara Asia termasuk Malaysia, sudah pasti perjanjian perdagangan bebas (FTA) memanfaatkan mereka.

“Saya harap TPPA tidak ditarik balik sepenuhnya (oleh AS) dan terdapat cara lain untuk meneruskan rundingan FTA ini,” katanya selepas menyampaikan taklimat mengenai `Melihat kepada Pasaran Pelaburan Selanjutnya’ di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden AS yang baharu dipilih, Donald Trump bahawa negara itu akan menarik diri daripada TPPA pada hari pertama beliau memulakan tugasnya sejajar janjinya pada Pilihan Raya Presiden, baru-baru ini.

Mengulas isu sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan, berkata Malaysia masih komited terhadap pelaksanaan TPPA kerana belum ada keputusan rasmi berhubung kemungkinan Trump menolak pakatan perdagangan bebas itu.

Malaysia akan menunggu langkah seterusnya kerana pembubaran perjanjian itu turut bergantung kepada keputusan 11 negara, selain AS.

“Bagaimanapun, jika perjanjian itu diteruskan tanpa AS, terdapat klausa tertentu yang perlu dipinda berikutan TPPA meletakkan syarat 85 peratus daripada saiz ekonomi atau sekurang-kurangnya enam negara bersetuju untuk meneruskan perjanjian itu.

“Namun, hingga kini, kita anggap perjanjian berkenaan dapat diteruskan dan biarkan proses berjalan seperti biasa, termasuk keutamaan kepada undang-undang buruh iaitu antara aspek penting dalam perjanjian berkenaan,” katanya selepas merasmikan Persidangan Besi dan Keluli di sini, hari ini.

Mengenai prospek pasaran global, Moeller berkata, pelabur akan bersikap tunggu dan lihat dalam membuat tindakan pelaburan selanjutnya berikutan mereka memantau secara teliti tindakan yang akan diambil oleh Trump dalam tempoh 100 hari pertama beliau memulakan tugasnya.

“Pelabur lebih berhati-hati ketika ini berikutan keadaan yang tidak menentu dari AS, zon Euro dan kesan Brexit,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan, Dana Runcit dan Persaraan AmInvest, Alex Tan Cheng Leong, berkata terdapat ketidaktentuan di pasaran selepas keputusan Pilihan Raya Presiden AS sehingga mendorong pelabur beralih kepada pelaburan aset alternatif seperti emas dan REIT.

“Secara peribadi, kami akan memantau perkembangan di pasaran tempatan hingga suku pertama tahun depan bagi mendapatkan kejelasan hala tuju berikutan ketidaktentuan semasa,” katanya.