BUKIT MERTAJAM – Pelanggan di sebuah stesen minyak di Jalan Kulim, di sini, gempar selepas menemui satu beg plastik berisi bom tangan diletakkan di dalam tandas lelaki premis itu, petang tadi.

Dalam kejadian jam 3.10 petang itu, bungkusan warna hitam yang terletak di atas pam tandas ditemui oleh seorang pelanggan yang ingin menggunakan tandas berkenaan.

Disebabkan rasa curiga, lelaki berkenaan memaklumkan kepada pekerja stesen minyak yang kemudiannya bertindak menghubungi polis.

Anggota Unit Pemusnah Bom (UPB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiba tidak lama kemudian dan hasil pemeriksaan mendapati ada beberapa butir bom jenis bom tangan di dalam bungkusan terbabit.

Bom pertama diletupkan pada jam 5.30 petang dan bom kedua diletupkan pada jam 5.42 petang.

Difahamkan, baki bom tangan yang ada akan diletupkan dalam masa terdekat.

Pegawai Kanan Penguasa Bomba, Mohd Fauzi Suid, berkata seramai sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan orang awam kira-kira jam jam 4.39 petang.

“Dua daripadanya sudah diletupkan oleh UPB selepas didapati bungkusan berkenaan positif bom tangan. Perbincangan kini sedang berlangsung bagi proses perpindahan bungkusan terbabit,” katanya.

 

SHARE
Previous articlePemuda Yakin Kepimpinan Negara Dapat Harungi Cabaran – Khairy
Next articleArab Saudi Guna Apache Perangi Pemberontak Yaman