PETALING JAYA: Boustead Holdings Bhd berharap terus mencapai pertumbuhan pendapatan yang mapan tahun ini walaupun ekonomi lemah, kata Timbalan Pengerusi merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin.

Syarikat itu memperuntukkan RM700 juta bagi perbelanjaan modal untuk mengukuhkan lagi semua enam bahagian perniagaan, dengan tumpuan kepada farmaseutikal, hartanah dan perladangan.

“Kami menjangkakan keenam-enam bahagian akan meningkatkan lagi model perniagaan mereka, dengan mengukuhkan kelemahan, secara pelupusan atau penstrukturan semula,” katanya selepas mesyuarat agung tahunan kumpulan itu di sini hari ini.

Beliau berkata Pharmaniaga Bhd, antara yang mencatatkan prestasi cemerlang bagi kumpulan itu pada tahun lepas, dijangka memberi nilai tambah kepada prospek bahagian itu pada 2015 memandangkan ia memanfaatkan keperluan penjagaan kesihatan yang semakin berkembang.

Pharmaniaga, yang mencatat keuntungan pracukai sebanyak RM100 juta tahun lalu, menyasar untuk mengembangkan kemudahannya kepada sekurang-kurangnya 10 daripada empat pada masa sekarang dan menambah lebih banyak sekutu perniagaan dengan pengusaha lain daripada 27 yang sedia ada.

Bagi segmen hartanah, Boustead Group akan membangunkan projek hartanah, membabitkan bangunan bertingkat tinggi dan Pusat Beli Belah MyTOWN empat tingkat di Jalan Cochrane.

Kumpulan akan membangunkan lagi perbandaran Taman Rini Mutiara, Johor yang mempunyai nilai pembangunan kasar RM1 bilion.

Bagi segmen perladangan, syarikat itu merancang untuk mengembangkan simpanan tanah sebanyak 20 peratus dalam tempoh hingga tiga tahun daripada 83,400 hektar pada masa kini.

Lodin berkata walaupun import minyak sawit mentah (MSM) perlahan oleh pengguna terbesar Malaysia, China dan India, harga MSM kemungkinan bergerak antara RM2,600 dan RM2,700 setan tahun ini.

Ia disebabkan berlaku penurunan dalam paras inventori yang ketika ini berada pada 1.7 juta tan daripada 2.17 juta tan pada beberapa bulan lepas, katanya.

Sementara itu, Boustead Group menjangkakan kemungkinan melupuskan beberapa perniagaan mereka yang tidak memberi sumbangan yang ketara kepada pendapatan syarikat, termasuk sebuah syarikat yang mengeluarkan bahan binaan.

Pada tahun kewangan 31 Disember 2014, Boustead Holdings mencatat keuntungan pracukai RM686 juta yang disokong oleh pendapatan sebanyak RM10.6 bilion. Syarikat itu mengumumkan dividen bersih 26 sen sesaham dengan bayaran keseluruhan sebanyak RM269 juta.

SHARE
Previous articleTiada Alasan Projek Pembangunan Alami Kelewatan – Musa Aman
Next articleJam Tangan Tanpa Sentuh Untuk Pembayaran Dari Visa, Maybank