KUALA LUMPUR: Pemain badminton nombor satu dunia, Chen Long menafikan hasrat rakan senegaranya, Lin Dan untuk menjulang mahkota kejuaraan pertama Terbuka Malaysia 2015 hasil kemenangan 20-22,21-13,21-11 di final, hari ini.

Begitu pun, pilihan pertama kejohanan berusia 26 tahun itu terpaksa berhempas pulas sebelum menang dalam pertarungan tiga set yang mengambil masa sejam 18 minit di Stadium Putra Bukit Jalil.

Kalah set pertama, Chen Long yang juga pemenang kejohanan Seluruh England, tahun ini tidak mudah goyah malah permainannya jelas meningkat pada set kedua ketika Lin Dan, 31, mula kelihatan penat.

Kelebihan itu tidak mahu disia-siakan Chen Long yang menamatkan set ketiga dengan lebih mudah sekali gus merakam kejuaraan pertamanya di Terbuka Malaysia.

Untuk rekod, ini kali pertama dalam tempoh lapan tahun gelaran perseorangan lelaki di Terbuka Malaysia menjadi milik pemain luar yang sebelum ini menjadi milik jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sejak 2008.

Chong Wei tidak beraksi tahun ini selepas digantung BWF atas kesalahan doping dan kesnya akan dibicarakan pada 11 April depan.

Dalam pada itu, pemain muda Sepanyol, Carolina Marin yang juga pilihan keenam kejohanan mencipta kejutan dengan menewaskan pemain China, Li Xuerui di final perseorangan wanita.

Seperti Chen Long, Carolina turut tewas set pertama namun bangkit untuk menang dengan keputusan 19-21, 21-19, 21-17 ke atas pemain nombor satu dunia itu.

China begitupun mengungguli dua lagi kategori iaitu beregu wanita dan beregu campuran.

Gandingan Luo Ying-Luo Yu yang juga pilihan ketiga menang mudah ke atas pasangan Korea Selatan, Chang Ye Na-Jung Kyun Eun 21-18, 21-9.

Manakala gandingan Zhang Nan-Zhao Yunlei yang juga pilihan pertama menewaskan rakan senegara Xu Chen-Ma Jin yang juga pilihan ketiga 21-16, 21-14 untuk meraih gelaran beregu campuran.

 

SHARE
Previous articleRakyat Malaysia Di Yaman Pulang Hari Ini
Next articleTiada Panggilan Kecemasan Daripada Helikopter – Liow