KUALA LUMPUR: Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) berjaya menarik pelaburan berjumlah RM73.04 bilion dari 2007 sehingga Mac tahun ini.

“Pelaburan itu akan mewujudkan 73,708 peluang pekerjaan baharu bagi rakyat dan mewakili 66 peratus daripada sasaran pelaburan ECER bernilai RM110 bilion menjelang 2020,” kata Majlis Pembangunan ECER (ECERDC) dalam satu kenyataan hari ini.

Dari segi sektor, kluster pembuatan merupakan penyumbang terbesar dengan RM39.8 bilion, diikuti pelancongan (RM13.5 bilion), bioekonomi (RM5.6 bilion) dan minyak, gas dan petrokimia (RM4.8 bilion).

Menurut kenyataan itu, kerajaan memperuntukkan RM6.6 bilion bagi ECER di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan pelaburan awam, merangkumi projek prasarana strategik serta modal insan dan program pembangunan keusahawanan, yang telah membuahkan hasil.

Bercakap selepas mesyuarat majlis pertama ECERDC yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini, ketua pegawai eksekutifnya Datuk Seri Jebasingam Issac John berkata beliau menganggap 2015 sangat penting kerana ia menandakan tahun akhir RMK-10, sebelum beralih kepada RMK-11 tahun depan.

“Justeru itu ECERDC akan terus memberikan penekanan sama rata kepada ekonomi modal dan ekonomi rakyat bagi memastikan pembangunan berimbang dan inklusif dalam ECER.

“Di masa depan, tumpuan akan diberikan kepada sektor hasil tinggi seperti bioteknologi, minyak, gas dan petrokimia, serta teknologi maklumat dan komunikasi yang boleh mengembangkan rantaian nilai dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan bagi semua rakyat Malaysia,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pelaburan dalam ECER bukan terhad kepada kawasan bandar sahaja dan Zon Ekonomi Khas ECER (ECER SEZ) juga menerima komitmen pelaburan di kawasan luar bandar antara lainnya seperti Gua Musang (Kelantan), Besut (Terengganu), Jengka (Pahang) dan Rompin (Mersing, Johor).

Ia dijangka mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan bagi penduduk tempatan di sini. Selain syarikat multinasional terkemuka seperti BASF PETRONAS Chemicals Sdn Bhd, Kaneka Corporation dan Mercedes Benz, perusahaan kecil dan sederhana tempatan juga merupakan antara pelabur ECER.

Malaysia-China Kuantan Industrial Park, taman perindustrian pertama di Malaysia yang dibangunkan oleh Malaysia dan China juga merupakan yang pertama menerima status “Taman Perindustrian Nasional”.

Ia telahpun berjaya menarik pelaburan berjumlah RM9.7 bilion. “Kedudukan Zon Ekonomi Khas ECER sebagai pintu masuk pelaburan ke pasaran ASEAN akan diperkukuhkan lagi selepas pengembangan Pelabuhan Kuantan selesai, yang ketika ini sedang dibina dan dijangka siap pada 2016,” kata ECERDC.

 

SHARE
Previous articleKDN Syor JPAM Terajui Usaha Menyelamat – Zahid
Next articleMusa Aman Mahu Adun Lipat Usaha Jaya Pembangunan Sabah