PUTRAJAYA: Keadaan ekonomi Malaysia hari ini lebih kukuh berbanding sewaktu krisis kewangan pada tahun 1997, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut beliau yang juga Menteri Kewangan, Malaysia sudah belajar daripada kesan buruk krisis tersebut dan ditangani pula dengan Program Transformasi Ekonomi (ETP) negara.

“Kita mengurangkan fiskal defisit negara tiap-tiap tahun sejak 2008 daripada 6.7 peratus kepada 3.2 peratus menjelang akhir tahun ini.

“Maknanya perubahan mesti berjalan secara konsisten walaupun sukar dan (melaksanakan dasar) yang tidak popular,” kata beliau.

Tambah Najib, lambat-laun rakyat akan menyedari bahawa perubahan itulah yang memberi Malaysia kelebihan apabila berdepan keadaan tidak menentu.

Kata beliau, keadaan ekonomi dan kewangan negara akan lebih sukar dikawal jika fiskal defisit masih pada paras yang terdahulu sebelum ETP dilaksanakan, subsidi minyak tidak dikurangkan dan GST tidak dilaksanakan.

Sementara itu, kerajaan sentiasa meletakkan perhatian yang tinggi kepada agensi seperti Perbendaharaan dan Kementerian Kewangan pada pengurusan kewangan dan ekonomi negara.

“Kita menggalas tanggungjawab dan amanah yang cukup berat tambah-tambah lagi dalam senario ekonomi global masa kini yang menerima tekanan daripada faktor-faktor yang luar daripada kawalan kita,” ujar beliau.

 

Beliau berkata demikian ketika hadir dalam Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Anugerah Khas Perbendaharaan Malaysia 2014 di Dewan Utama Kompleks Kementerian Kewangan di sini.

Dalam majlis itu, seramai 65 petugas dari pelbagai bahagian, jabatan dan gred layak menerima anugerah atas kecemerlangan perkhidmatan mereka tahun lalu.

SHARE
Previous articleHajat Stacy Peluk Islam Tidak Dihalang Keluarga
Next articleNajib Umum Struktur, Fungsi JKE Untuk Kukuhkan Asas Ekonomi Negara