JAKARTA: Pasukan penyelamat Indonesia hari ini menyambung semula usaha mencari lebih 40 lagi mangsa bot karam yang masih hilang.

Usaha mencari yang ditangguhkan selepas hari mulai gelap semalam, dimulakan sebaik hari siang, membabitkan pembabitan 280 anggota, kata ketua agensi mitigasi bencana negara itu, Sutopo Purwo Nughoro.

Lapan belas mayat sudah dikenal pasti dan 39 berjaya diselamatkan.

Bot berkenaan membawa 101 penumpang, termasuk 44 yang masih hilang.

Bot yang membawa pekerja Indonesia pulang dari Malaysia itu tenggelam di perairan pulau Batam kira-kira jam 5.00 pagi waktu tempatan semalam ketika cuaca buruk.

Polis mengesyaki ia adalah perjalanan haram dan pekerja tidak mempunyai dokumen.

Ketua Polis Batam, Sambudi Gusdian, berkata seorang wanita Indonesia dipercayai bertanggungjawab mengatur pelayaran itu, ditahan semalam ketika cuba meninggalkan Batam untuk ke Singapura.

Seorang daripada mangsa yang terselamat, Heryanto, 51, berkata bot itu karam dalam hujan lebat dan ombak tinggi kira-kira dua jam selepas meninggalkan Johor.

“Ia amat sesak sehingga sebahagian kami tidak dapat duduk,” katanya yang diselamatkan nelayan.

Bot laju dan feri adalah bentuk pengangkutan biasa di Indonesia dan kes kapal karam juga kerap berlaku kerana peraturan keselamatan tidak dilaksanakan.

Antara kes paling buruk berlaku di luar pulau Sulawesi pada 2009, meragut lebih 330 nyawa. – AP

SHARE
Previous articlePelancong Australia Dijumpai Selamat Di Mulu
Next articleKPDNKK Perlu Ada Mekanisme Penetapan Harga Minyak Masak – TPM