KUALA LUMPUR: Visa bekerjasama dengan Maybank melancarkan program perintis Watch2Pay, jam tangan pembayaran tanpa sentuh yang pertama di Asia.

Watch2Pay membolehkan pengguna membuat pembayaran dalam masa beberapa saat saja dengan menggunakan teknologi tanpa sentuh Visa payWave di lebih daripada 3,000 alat pembaca Visa payWave di seluruh negara.

Kaedah pembayaran pengguna telah banyak berubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Selain migrasi kepada sistem pembayaran tanpa tunai, pengguna juga ingin membuat pembayaran dengan cara yang lebih cepat dan mudah, seperti transaksi tanpa sentuhan.

Berdasarkan Kajian Sikap Pembayaran Pengguna Visa, 68 peratus daripada responden di Malaysia berkata mereka akan melawat premis perniagaan yang menerima pembayaran tanpa sentuh berbanding dengan yang tidak menawarkan sistem itu.

Visa bekerjasama dengan Maybank untuk melancarkan projek perintis dalaman jam tangan pembayaran tanpa sentuh, Watch2Pay di Asia, kerana kami percaya pengguna di Malaysia sudah bersedia untuk inovasi baru dalam sistem pembayaran tanpa sentuh.

“Pada Disember tahun lalu, Visa dan Maybank memperkenalkan Maybank Visa payWave Micro Tag, yang boleh dilekatkan ke telefon mudah alih dan digunakan untuk melaksanakan pembayaran tanpa sentuh dalam beberapa saat.

“Dengan Watch2Pay, kita dapat meningkatkan pembayaran ke tahap yang lebih menarik dan mentransformasikan pengalaman pembayaran pengguna,” kata Ng Kong Boon, Pengurus Negara, Visa Malaysia dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pembayaran tanpa sentuh telah diterima secara positif di Malaysia dan Visa bekerja keras dengan pelanggan untuk memperluaskan penerimaan dan pengeluaran kad Visa payWave di seluruh negara.

“Setakat ini, ada lebih 1.5 juta kad Visa payWave dalam edaran dan kadar penerimaan yang kian meningkat. Kami juga melihat pertumbuhan lebih 300 peratus dalam jumlah pembayaran dan 100 peratus dalam urus niaga dari tahun ke tahun setakat Disember 2014,” katanya.

Watch2Pay baru-baru ini diperkenalkan pada Pameran Elektronik Pengguna pada bulan Januari 2015 (CES) di Las Vegas dan selain Malaysia, ia hanya boleh didapati di empat negara lain iaitu Poland, Republik Czech, Serbia, dan Austria.

Ketua Bahagian Kad dan Kekayaan Serantau Maybank, Encik B Ravintharan, berkata program perintis dalaman bagi inovasi pembayaran baru itu memberi Maybank beberapa pilihan strategik yang sedang dalam proses penilaian.

Ini akan membantu Maybank melangkah menjadi pemain utama dalam pembayaran elektronik dan bukan tunai.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk meningkatkan tawaran nilai Maybank kepada pelanggan. Projek dalaman ini bukan saja membolehkan kami menilai teknologi penting yang kami rasa amat sesuai untuk para pelanggan, ia juga membantu kami memahami tingkah laku pelanggan tertentu dan memperhalusi cadangan kami dengan sewajarnya,” katanya.

Antara perniagaan yang sudah memasang pembaca Visa payWave di Malaysia termasuk AEON, AEON Big, Chatime, Coffee Bean, Jaya Grocer, Krispy Kreme, Mydin, Radio Shack, TGV Cinemas, KLIA Express, Sogo, dan lebih banyak lagi akan menyusul tahun ini.

SHARE
Previous articleBoustead Sedia RM700j Perbelanjaan Modal Tahun Ini
Next articleUjian Doping: Chong Wei Ke London