PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak hari ini menegaskan kerajaan tidak akan mengambil langkah kawalan modal dan menambat ringgit dalam mengekang kejatuhan ringgit ketika ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan melihat paras semasa ringgit tidak menggambarkan asas negara sebenar, namun kerajaan menyedari mengenai penyepaduan ekonomi Malaysia dan ekonomi global.

“Asas ekonomi Malaysia kekal kukuh seperti mana dicerminkan dalam pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.9 peratus pada suku kedua 2015.

“Struktur ekonomi terus kukuh, disokong sektor perkhidmatan dan pembuatan yang menyumbang 76.6 peratus daripada KDNK,” katanya 

Beliau berkata, paras ringgit ketika ini tidak mencerminkan asas ekonomi negara yang kukuh. Katanya, kerajaan komited untuk melaksanakan langkah transformasi ekonomi.

“Oleh itu, fleksibiliti kadar tukaran mata wang kita sangat penting untuk menyerap pelarasan dan turun naik global ini.

“Atas sebab itu, kerajaan Malaysia tidak akan mengambil langkah menambat ringgit atau pun melaksana kawalan modal,” katanya pada sidang media di Bangunan Perdana Putra hari ini.

 

SHARE
Previous articleBAHTERA 2015 Bermula Hari Ini
Next articleKedah Cadang Kadar Gst Diturunkan Kepada Tiga Peratus – Mukhriz