KUALA LUMPUR – Bagaikan kebetulan konsert unplugged Datuk Siti Nurhaliza malam tadi di Panggung Sari, Istana Budaya hanya dilunaskan dalam masa dua minggu sahaja persiapannya seperti mana konsert sulungnya di Stadium Putra Bukit Jalil.

Bagi empunya diri, ia satu kebetulan yang akhirnya menjadi suratan terindah. malah lebih indah seperti judul lagunya, konsert itu diadakan dalam bulan April bersempena 20 tahun usia pembabitannya di arena seni.

Konsert unplugged pertama Siti itu terus melengkapkan portfolio seninya di dalam dunia seni.

“Dulu Siti bercita-cita nak buat konsert sebelum usia 21 tahun dan ia menjadi kenyataan kerana konsert pertama direalisasikan pada usia 17 tahun. Begitu juga konsert terbaru ini berlangsung bersempena 20 tahun usia Siti di arena seni.

“Cita-cita nak menjayakan konsert di Indonesia, jelajah Malaysia dan Indonesia, Royal Albert Hall London dan kemudian konsert Akustika diikuti Unplugged. InsyaAllah November ini Siti akan tampil dengan konsert muzikal pula.

“Siti tak sangka konsert unplugged ini mendapat sambutan baik dan tiket habis terjual. Kebiasaannya untuk menganjurkan konsert masa sebulan diambil untuk melaksanakannya tetapi Alhamdulillah ia berjaya direalisasikan dalam tempoh dua minggu. ia mengimbau memori yang sama pada konsert sulung Siti,” kata Siti sambil memberitahu konsert sulungnya dahulu dihadiri 10,000 peminat.

Biarpun hanya satu malam sahaja konsert unplugged itu diadakan yakni pada 7 April, keampuhan vokal dan kredibiliti penyanyi serta usahawan jelita ini tidak mampu disangkal lagi.

Siti mengakui ada peminatnya yang marah dan kecewa kerana tidak dapat menonton konsert unplugged ini.

Bagaimanapun keputusan menganjurkan konsert ini diputuskan pada minit akhir.

“Siti ada bertemu Abang Joe (Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani dan berborak mengenai hasrat mengadakan konsert ini di bulan April. Selepas diperiksa tarikh yang ada, Siti dimaklumkan 7 April sahaja yang tidak terikat dengan mana mana persembahan.

“Tanpa berfikir lama, Siti sahut cabaran biarpun tempoh masa agak singkat. Penat memang memenatkan kerana pada masa yang sama Siti turut terbabit dengan persembahan di Anugerah Bintang Popular BH 2014.

“Tapi Siti puas hati dapat menghiburkan peminat. ia berbaloi kerana niat Siti mahu terus menghibur dan menyumbangkan sesuatu kepada peminat. Siti juga bukan sekadar mahu peminat terbuai dengan lagu sebaliknya dapat memberikan motivasi menerusi lagu yang disampaikan seperti di dalam album Fragmen contohnya,” kata pemenang kategori Online, Artis Stailo ABPBH 2014 ini.

Sepanjang dua jam mengalunkan emosi Menerusi lagu hitsnya, Siti juga kini sebenarnya sudah pandai berjenaka dan sesekali ia disambut hilai tawa penonton.

“Kalau suami tak beri izin, Siti takkan berada di sini. Jadi dua minggu sibuk untuk konsert ini, siti kena buat betul betul,” selorohnya hingga mengundang gelak tawa penonton saat menyentuh perihal suami tersayang, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Siti turut mengajak peminat mengimbau kembali nostalgia awalan kerjaya seninya. Selain mendendangkan lagu dari album Fragmen antaranya seperti Membunuh Benci, Jaga Dia Untukku, Lebih Indah, Intriq Cinta dan Tanpa Kalian, lagu seperti Jerat Percintaan, Purnama Merindu, Diari Hatimu, Kau Kekasihku dan Gelora Asmara turut didendangkan.

Siti turut mengundang dua komposer juga penyanyi yang terbabit dalam album Fragmen, Awi Rafael dan Faizal Tahir mengiringi persembahan masing masing untuk Mula dan Akhir serta Wanita.

Malah Siti turut mengundang komposer Datuk Adnan Abu Hassan bermain piano sambil Siti mengalunkan lagu ciptaan komposer berkenaan.

Turut hadir menonton persembahan beliau ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah.

Bagi yang tidak berpeluang menonton konsert unplugged ini, Siti akan muncul dengan konsert muzikal di lokasi yang sama selama lapan hari pada November depan.

SHARE
Previous articleDua Pesawat TUDM Tiba Di UAE Bawa Pulang Rakyat Malaysia
Next articleKDN Syor JPAM Terajui Usaha Menyelamat – Zahid