PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) meneliti cadangan mengadakan mekanisme penetapan harga minyak masak tidak bersubsidi bagi mengelak peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga.

Ahmad Zahid berkata, badan bukan kerajaan (NGO), rakyat dan media perlu bersama-sama menyalurkan cadangan bagi tujuan itu untuk perhatian Menteri KPDNKK, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Menteri boleh membawa cadangan yang baik kepada jemaah menteri untuk dipertimbangkan demi rakyat keseluruhan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan media mengenai cadangan supaya KPDNKK mencari mekanisme penetapan harga minyak masak susulan penstrukturan semula harga bahan asas berkenaan bermula 1 November lalu.

Selain itu, Ahmad Zahid mahu Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan penguat kuasa KPDNKK meningkatkan kawalan di sempadan bagi mengekang penyeludupan minyak masak ke negara jiran.

“Berdasarkan maklumat, penyeludupan ini berlaku di lorong tikus dan bukan laluan rasmi,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya, beliau mahu agensi di bawah KDN bersiap siaga menghadapi musim banjir tidak lama lagi.

SHARE
Previous articleIndonesia Sambung Operasi Cari Mangsa Bot Karam
Next articleAS Mungkin Tak Tarik Diri TPPA