SEPANG : Menteri Pembangunan Ekonomi Rusia Alexey Ulyukaev tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pagi ini untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-47 dan Mesyuarat Berkaitan.

Rusia menjadi rakan dialog penuh ASEAN sejak 1996 semasa Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN ke-29 di Jakarta, Indonesia, manakala perundingan pertama antara AEM dan Menteri Ekonomi Rusia diadakan pada Ogos 2010 di Da Nang, Vietnam.

Jumlah dagangan antara ASEAN dan Rusia berkembang 9.9 peratus kepada US$19.9 bilion pada 2013 daripada US$18.2 bilion (US$1=RM4.24) yang dicatatkan pada 2012.

Aliran pelaburan langsung asing dari Rusia meningkat dengan ketara sebanyak hampir 200 peratus daripada US$180 juta pada 2012 kepada US$540 juta pada 2013.

Mesyuarat AEM yang berlangsung enam hari dan berakhir esok, akan memuktamadkan penubuhan rasmi Komuniti Ekonomi ASEAN menjelang hujung tahun ini.

SHARE
Previous articleUMNO Mesti Terus Dikuatkan Ketika Isu 1MDB Sedang Diselesaikan – Hishammuddin
Next articlePemuda UMNO Rancang Pertemuan Dengan Presiden