KUALA LUMPUR – Peminat Seni Mempertahankan Diri Campuran (MMA) di Malaysia bakal disajikan dengan dua kejohanan sukan tempur popular dunia itu, di sini, selama dua hari berturut-turut, pada Oktober ini.

Bermula dengan kejohanan One Championship (ONE), Tiger of Asia pada 9 Oktober, ia diikuti dengan Grand Final kejohanan Penaklukan Seni Mempertahankan Diri Campuran Malaysia (MIMMA) pada hari berikutnya.

Kedua-dua kejohanan yang akan menampilkan atlet tempur terbaik dalam dan luar negara itu akan berlangsung di gelanggang Stadium Putra Bukit Jalil. Kejohanan Grand Final MIMMA akan menampilkan pertembungan membabitkan semua penyandang juara kategori tahun lalu dengan pencabar baharu, musim ini.

Ia termasuk pertembungan membabitkan dua kategori baharu iaitu Divisyen Catchweight Wanita (lebih 48 kilogram (kg) dan kurang 56.7kg) serta Divisyen Catchweight Pemain luar (lebih 61.2kg dan kurang 70.3kg.

Ketua Pegawai Eksekutif ONE, Victor Chui, ketika majlis pengumuman kejohanan itu hari ini berkata pihaknya cukup teruja dengan penganjuran kejohanan One Championship dan Grand Final MIMMA di Malaysia yang dijangka mendapat sambutan menggalakkan seperti tahun lalu.

Mengulas mengenai pencabar dari Malaysia, Chui berkata Malaysia memiliki ramai peserta berbakat yang boleh melangkah lebih jauh pada masa hadapan dan berpeluang bersaing di pentas lebih tinggi.

Kejohanan ONE adalah kejohanan sukan tempur MMA terbesar di Asia dan disiarkan kepada lebih 70 negara di seluruh dunia dengan MIMMA ketika ini masih berstatus amatur dengan sasaran mencari bakat-bakat Malaysia untuk diketengahkan ke peringkat dunia. Hadiah keseluruhan bagi kejohanan Grand Final MIMMA secara keseluruhan berjumlah RM150,000.

 

SHARE
Previous articleTiada Ahli Parlimen BN Yang Terlibat – Shahrir Samad
Next articleBAHTERA 2015 Bermula Hari Ini