KUALA LUMPUR, 18 April – Warga kota berpendapatan bawah RM10,000 berpeluang untuk menyewa rumah di Pangsapuri Bandaraya @ Sungai Udang, Segambut pada kadar sewa sebanyak RM800 dengan pecahan RM500 untuk sewa dan RM300 akan dipulangkan semula kepada penyewa selepas lima tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata demikian selepas merasmikan majlis pecah tanah pangsapuri berkenaan, di sini semalam.

“Unit rumah ini tidak akan dijual dan kerajaan melaksanakan konsep ‘force saving’ sebanyak RM300 dan jumlah terkumpul sebanyak RM18,000 yang akan dipulangkan semula selepas lima tahun pula, boleh digunakan sebagai deposit untuk membeli rumah lain.

“Selepas lima tahun penyewa kena keluar dan beri peluang kepada orang lain pula,” kata Najib.

Sg-udang-thumb

Pangsapuri Bandaraya ini dibangunkan di keseluruhan tanah seluas 5.51 ekar manakala pangsapuri perkhidmatan (service apartment) dibina di tanah seluas 2.289 ekar yang dibina berhampiran pusat bandaraya Kuala Lumpur sejauh 10 km atau 15 minit jarak perjalanan.

Najib dalam ucapannya yakin bahawa projek tersebut akan mendapat sambutan hangat dari komuniti tempatan dan pihak kerajaan akan membina lebih banyak projek seperti ini.

“Projek ini belum pernah dilakukan sebelum ini dan merupakan projek yang julung kali dilaksanakan dengan konsep luar biasa dan kreatif dilaksanakan oleh kerajaan.

“Hal ini selari dengan prinsip kerajaan yang sentiasa mendahulukan rakyat dengan menekankan konsep terangkuman atau ‘inclusivity’ tanpa mengira kelompok bandar atau luar bandar di mana tiada pihak yang akan tercicir.

“Ini adalah antara kebaikan pihak Barisan Nasional dan meminta rakyat tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang sebagaimana projek Residensi Kerinchi di mana 34 keluarga yang dipengaruhi pembangkang kalah mahkamah kini gigit jari dan terlepas untuk miliki rumah berharga RM450,000 di bandaraya Kuala Lumpur,” jelas beliau lagi.

Bagi keselesaan penduduk, turut dibina lima tingkat podium bagi ruang parkir, surau yang lengkap dengan kemudahan ruang mandi jenazah, dewan orang ramai dan kolam renang untuk penghuni beriadah.

Pembangunan ini merangkumi 1,251 unit rumah dengan dua blok setinggi 32 tingkat dan satu blok setinggi 34 tingkat, manakala setiap unit seluas 807 kaki persegi dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik mandi, ruang tamu dan dapur.

Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Noh Omar.

SHARE
Previous articleAS Mungkin Tak Tarik Diri TPPA
Next articleZahid Sokong Hisham Mengukuhkan Institusi Kepimpinan Sedia Ada