MELAKA, 21 April : Program Perumahan Rakyat (PPR) Tehel di Bemban di sini merealisasikan hasrat rakyat terutama yang berpendapatan rendah dalam golongan B40 untuk memiliki rumah sendiri.

PPR Tehel adalah satu projek di mana 500 unit rumah berkeluasan 700 kaki per segi ditawarkan kepada rakyat pada harga RM35,000 seunit, jauh lebih murah daripada kos pembinaan sebenar iaitu RM160,000 seunit, dan nilai rumah-rumah ini dijangka melonjak sehingga mencecah RM400,000 seunit.

PPR Tehel, dilengkapi pelbagai kemudahan asas termasuk dewan serbaguna, gelanggang futsal, surau dan taman permainan dibina dengan kos RM80 juta dan siap pada 1 Jan lepas.

Unit-unit rumah PPR Tehel ini bukan sahaja mampu milik, malah ia juga dilengkapi dengan sistem teknologi hijau iCycle dan perangkap nyamuk solar.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci PPR Tehel itu hari ini mengumumkan kadar sewa yang akan dikenakan ialah RM205 sebulan dan RM50 pula sebagai caj pengurusan.

Menurut Najib, jumlah sewaan itu akan dikira sebagai ansuran kepada kos pembelian rumah yang ditawarkan nanti pada harga semurah RM35,000 seunit berbanding harga pasaran RM160,000 seunit.

Sementara itu, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menerusi kenyataan sempena majlis itu menyatakan kaedah sewa untuk dimiliki (RTO) telah diperkenalkan melalui Rancangan Malaysia Ke-11 sebagai kaedah alternatif khusus membantu pemohon rumah PPR yang tidak layak dibiayai melalui institusi kewangan sedia ada.

Kaedah RTO sebelum ini telah dilaksanakan di empat PPR iaitu PPR Gua Musang, Kelantan (1,000 unoit), PPR Lembah Subang 2, Selangor (1,580 unit), PPR Kampung Hassan, Selangor (300 unit) dan PPR Ladang Silau, Port Dickson, Negeri Sembilan (300 unit).

Majlis penyerahan kunci tersebut turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Othman Muhamad; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar serta timbalan beliau, Datuk Halimah Mohamed Sadique

SHARE
Previous articleNoh Yakin Selangor Mampu Ditawan
Next articleLompat Parti Di Selangor Hanya Lakonan Dari PKR – Noh