MADRID: Cristiano Ronaldo menjaringkan gol ke-300 bersama Real Madrid ketika juara Eropah itu kekal empat mata di belakang pendahulu La Liga Sepanyol, Barcelona hasil kemenangan 2-0 ke atas Rayo Vallecano, awal pagi tadi.

Dalam aksi lebih awal, Lionel Messi dan Luis Suarez antara nama yang meledak ketika Barca menundukkan Almeria 4-0.

Barca begitupun mengambil masa setengah jam sebelum membuka tirai jaringan dengan Messi menjaringkan gol pada minit ke-33 yang juga gol ke-44 miliknya musim ini.

Penyerang kontroversi, Suarez kemudian menambah jaringan Barca pada 10 minit memasuki babak kedua dan gol kedua peribadi yang juga keempat perlawanan pada masa kecederaan.

Marc Bartra menjaringkan gol ketiga Barca selepas menanduk masuk gol menerusi sepakan sudut Xavi pada minit ke-75. “Ia adalah tahap pada musim ini di mana kami perlu memberikan segala-galanya,” kata Suarez.

“Kami perlu menampilkan personaliti kami kerana kami adalah Barcelona. “Di dalam liga, kami bergantung kepada diri kami sendiri dan kami perlu meneruskan misi ini,” kata bekas penyerang Liverpool itu.

Real dalam pada itu mengharungi hari lebih sukar pada pertemuan tetangga ibu negara Sepanyol menentang Rayo dengan kedua-dua gol hanya dijaringkan pada babak kedua.

Selepas Ronaldo menjaringkan gol pertama pada minit ke-68, penyerang sensasi Colombia, James Rodríguez menjaringkan gol kedua pada minit ke-73.

“Kami bergelut, namun pada akhirnya kami menang yang pada kami adalah perkara paling penting,” kata Rodriguez.

“Pada babak pertama, keadaannya amat sengit dan kami tahu apabila mereka mula penat dan tidak mampu untuk memberikan tekanan lebih kepada kami, perkara seperti ini berlaku,” katanya. – AFP

 

SHARE
Previous articleMusa Aman Mahu Adun Lipat Usaha Jaya Pembangunan Sabah
Next articleLelaki Menyamar Polis Ditahan Di Bukit Kayu Hitam