KUALA LUMPUR: Samsung Malaysia Electronics hari ini melancarkan telefon pintar terbaharunya, Galaxy S6 dan Galaxy S6 Edge.

“Dua telefon pintar itu akan memberikan yang terbaik kepada anda dari segi produktiviti dan keselamatan yang maksimum, dengan teknologi KNOX, kadar mengecas yang pantas dan prestasi yang tiada tandingannya,” kata Presidennya, Lee Sang Hoon.

Teknologi KNOX menyediakan perlindungan bagi telefon pintar dan data yang terkandung di dalamnya daripada potensi serangan berniat jahat, katanya pada pelancaran telefon berkenaan, hari ini.

Galaxy S6 ini bukan saja kuasa dalaman malah reka bentuk luaran yang mengalami perubahan radikal dan ekstrem apabila Samsung menggunakan rekaan unibodi dan mengorbankan kebolehan mencabut penutup belakang dan menukar bateri.

Samsung Galaxy Edge 6 dan Samsung Galaxy S6

Galaxy S6 turut diberi binaan baru dengan penggunaan gelas Corning Gorilla 4 bukan saja di depan tetapi di belakang bagi memberi rupa bentuk premium.

Manakala Galaxy S6 Edge tampil dengan rekaan lengkung di kiri dan kanan membuka inovasi mantap dari syarikat Korea terbabit.

Telefon pintar Galaxy S6 yang tipis dan ringan (6.8mm/138g) itu berharga RM2,599, manakala Galaxy S6 Edge (7.0mm/132g) berharga RM3,099.

Harga berkenaan termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

SHARE
Previous articleASNB umum agihan pendapatan 7.75 sen seunit bagi ASB2
Next articleKKLW Gesa Usahawan Muda Menyertai RBC – Shafie