TANJUNG KARANG – Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar menganggap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak serius dalam menangani peningkatan kes denggi di Selangor.

Tan Sri Noh Omar yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata, ini terserlah dalam masalah denggi apabila kerajaan negeri menyalahkan isu kepadatan penduduk menjadi punca kepada peningkatan kes wabak itu di Selangor.

“Kalau nak ikutkan isu kepadatan penduduk, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur) pun penduduknya ramai, lebih kurang macam Selangor juga.

“Tetapi kenapa kes denggi di Wilayah Persekutuan lebih rendah dan di Selangor lagi tinggi.

“Masalah denggi ini di Selangor saya lihat melibatkan kawasan bandar. Saya percaya ini kerana masalah pengurusan sampah sarap dan longkang yang gagal diuruskan oleh kerajaan negeri,”

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mengatakan kes denggi meningkat kerana kepadatan penduduk di Selangor.

“Begitu juga dengan kad kesihatan rakyat yang dilancarkan oleh kerajaan negeri, konon nak tunjuk baik hati. Sedangkan kad itu bersifat untuk mengubati, namun langkah-langkah pencegahan tidak dilaksanakan,” katanya selepas mengadakan walkabout di Taman Raden Jaya di sini.

SHARE
Previous articleNoh Kesal Keputusan Kerajaan Negeri
Next articleRizab Antarabangsa BNM Meningkat Kepada RM428.7 Billion