KUALA LUMPUR, 27 Okt – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Bajet 2018 sebagai menyeluruh dan komprehensif kerana merangkumi keperluan semua kelompok masyarakat sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin pembangkang.

Ahmad Zahid berkata, perbelanjaan dalam Bajet 2018 adalah satu peruntukan cukup cemerlang bagi beliau selama Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri dan mengetuai Kementerian Kewangan.

Dengan tambahan peruntukan sebanyak RM20 bilion, Bajet 2018 menjadi bajet terbesar setakat ini, yang akan memberi kesan baik kepada ekonomi negara dengan berupaya mengurangkan kadar defisit pada kadar 3 peratus, pertumbuhan ekonomi yang baik dan mengecilkan defisit daripada perolehan atau pendapatan dengan perbelanjaan.

“SAYA FIKIR MEREKA ‘FRUST’ (KECEWA) DENGAN BAJET YANG CUKUP BAIK DIBENTANGKAN PERDANA MENTE KATANYA KETIKA DIMINTA MENGULAS TINDAKAN AHLI PARLIMEN PEMBANGKANG YANG MELAUNGKAN KLEPTOKRASI, KETIKA PERDANA MENTERI MENGAKHIRI UCAPAN BAJET 2018.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pembentangan Bajet 2018 bertemakan ‘Memakmur Ekonomi Yang Inklusif, Mengimbangi Keunggulan Duniawi dan Ukhrawi Demi Mensejahtera Kehidupan Rakyat, Menuju Aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, turut mengakui Bajet 2018 adalah bajet pilihan raya seperti didakwa banyak pihak khususnya pembangkang.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri secara peribadi menyatakan keterujaan terhadap pengiktirafan yang diberikan Perdana Menteri kepadanya sebagai sahabat yang setia.

“Itu (pengiktirafan) melebihi dari bajet yang ada, pengiktirafan oleh seorang ketua kerajaan, sebagai Timbalannya dan sahabat lama yang bersama dengan beliau, saya rasa amat dihargai,” katanya.

Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2018 melahirkan rasa bertuah kerana mempunyai Timbalan Perdana Menteri yang juga sahabat setia untuk membantunya membangunkan negara sebagai satu pasukan.

Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri berkata, Bajet 2018 berjumlah RM280.5 bilion adalah satu manifestasi bagaimana kepedulian kerajaan mengutamakan kepentingan rakyat khususnya golongan petani, peladang, penoreh getah, nelayan dan pemain industri kecil dan sederhana (IKS) serta golongan muda.

Beliau berkata, walaupun negara sedang menghadapi kepayahan ekonomi dunia, namun berjaya meningkatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.7 peratus, hasil kebijaksanaan dasar kerajaan.

Katanya, kerajaan akan memastikan negara terus makmur dan terus mensejahterakan rakyat.

“INI ADALAH PERJUANGAN BERTERUSAN KERAJAAN BARISAN NASIONAL (BN) DAN BUKANNYA BERMUSIM,” KATANYA.

Ahmad Zahid yakin pakej bajet kali ini menerusi pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), peruntukan TEKUN berjumlah RM500 juta, pengurangan kadar cukai pendapatan, Skim Persaraan 1Malaysia, pemansuhan kutipan tol di beberapa lokasi pasti memenuhi aspirasi masyarakat dan keupayaan kerajaan menyelami denyut nadi rakyat.

Beliau berkata, perjuangan menegakkan keadilan sosial ini sejajar dengan pendekatan Najibnomics yang mementingkan dasar dan program yang mengutamakan rakyat sejak 2009 walaupun terpaksa mengorbankan kepentingan politik.

“Pemberian Bantuan Khas kepada penjawat awam sebanyak RM1,500 memaparkan penghargaan kerajaan kepada sumbangan mereka menggerakkan sistem perkhidmatan awam.

“Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri yang memberi perhatian serius dalam aspek ketenteraman awam dan keselamatan negara dengan peruntukan besar untuk menangkis ancaman dari dalam dan luar,” katanya.

SHARE
Previous articleMansuh Tol Bukti Kerajaan Ambil Berat Kepentingan Rakyat – Noh
Next articleTeks ucapan penuh Bajet 2018