SKANDAR PUTERI. 9 Okt -Datuk Seri Najib Razak tiba di Dataran Kota Iskandar di sini, bagi menyempurnakan perasmian Ekspo Johor Berkemajuan 2017, kelmarin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abd Razak mengesahkan empat inisiatif baharu untuk negeri Johor, mendapat sokongan sepenuhnya kerajaan pusat.

Kesemua inisiatif itu adalah pelancaran sistem Bas Rapid Transit (BRT), Pelan Induk Kemahiran Johor, Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Dasar Kelestarian Johor.

Najib berkata, sistem BRT merupakan sistem transit berasaskan bas yang berkualiti tinggi yang akan memberikan perkhidmatan yang dipercayai, selesa dan mampu digunakan oleh rakyat.

Menurutnya, kos pelaksanaan BRT berjumlah kira-kira RM2.56 bilion akan dibiayai menerusi kerajaan pusat sebanyak RM1 bilion manakala selebihnya menerusi kerjasama swasta dan awam atau Private-Public Partnership (PPP).

“Kita semua sudah maklum bahawa dalam masa satu dekad sahaja Iskandar Malaysia telah mempamerkan pembangunan serta kemajuan yang amat pesat.

“Dengan berkonsepkan keterangkuman, kerajaan pusat melalui Irda serta kerajaan negeri Johor akan membangunkan sistem BRT sebagai teras kepada infrastruktur pengangkutan awam di wilayah Iskandar Malaysia untuk dua dekad akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Ekspo Johor Berkemajuan 2017 di Kota Iskandar di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ir Wee Ka Siong.

Beliau berkata, BRT mengandungi ciri-ciri yang serupa dengan transit aliran ringan, sekali gus menjadikan sistem itu lebih cepat berbanding dengan perkhidmatan bas biasa.

Katanya, sistem itu dijangka beroperasi pada tahun 2021 yang akan menghubungi 90 peratus kawasan Iskandar Malaysia dengan laluan sepanjang 51 kilometer, menerusi 39 stesen dan pusat-pusat seperti mana disebutkan Menteri Besar sebentar tadi.

“Pembangunan sistem BRT ini akan mempunyai sambungan atau link yang lancar ke sistem transit keretapi RTS, High Speed Rail, KTM komuter serta terminal bas antarabangsa dengan jangkan pertambahan penduduk dan pertumbuhan ekonomi, sekali gus meningkatkan peluang pekerjaan.

“Saya yakin BRT bakal menjadi pemangkin untuk memacu Iskandar Malaysia ke tahap lebih berdaya saing lagi,” katanya.

Ekspo Johor Berkemajuan 2017 yang diadakan di sini membuka tirainya kelmarin dan berlangsung selama sembilan hari sehingga 14 Oktober ini dengan menyasarkan kehadiran kira-kira 500,000 pengunjung.

Ekspo yang kali terakhir dianjurkan 20 tahun lalu itu memfokuskan 12 aspirasi Johor ke arah menuju Wawasan Johor Berkemajuan, termasuk Johor Prihatin, Johor Selamat, Johor Berbudaya, Johor Islamik dan Perumahan Johor.

Kira-kira 31 program ikonik diadakan sepanjang sembilan hari dalam bentuk pameran, pelancaran, persembahan dan majlis perkahwinan beramai-ramai, selain peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Majlis penutup program dijangka disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada 14 Oktober ini.