PUTRAJAYA – Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) melancarkan saluran khas bagi pembayaran zakat fitrah pada tahun ini menerusi platform dalam talian.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, pihaknya sentiasa cakna dengan situasi semasa yang berlaku di negara ini khususnya bagi memudahkan orang ramai menunaikan kewajipan zakat fitrah masing-masing.

Beliau berkata, atas dasar itu, PPZ-MAIWP mengambil inisiatif mewujudkan platform pembayaran zakat fitrah secara dalam talian yang lebih cepat, mudah dan selamat.

“Kami menggalakkan umat Islam membuat pembayaran zakat fitrah secara dalam talian melalui pautan fitrah.zakat.com.my selari dengan saranan kerajaan untuk kita terus kekal di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Melalui langkah itu, ia dapat memudahkan orang ramai untuk membuat pembayaran zakat fitrah tanpa perlu ke kaunter atau masjid,” katanya ketika Majlis Pelancaran Zkaat Fitrah Online PPZ-MAIWP dan Penyerahan Sumbangan Tabung Musaaddah Khaira PPZ yang berlangsung di Kompleks Islam Putrajaya, Presint 3 di sini hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Sebelum ini, PPZ-MAIWP menerusi persetujuan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syara’ Wilayah Persekutuan menetapkan dua kadar bayaran zakat fitrah tahun ini iaitu RM5 dan RM7.

Mengulas lanjut mengenai inisiatif zakat fitrah secara dalam talian itu, Ahmad Shukri berkata, orang ramai boleh mula membuat pembayaran berkenaan bermula 24 April sehingga 23 Mei.

“Pembayar perlu mengisi maklumat ringkas di pautan berkenaan dan pembayaran boleh dilakukan secara perbankan internet atau kad debit/kredit perbankan Islam,” katanya.

Tambahnya, PPZ-MAIWP turut menyediakan lima kaunter iaitu Ibu Pejabat PPZ di Shamelin, Pejabat Cawangan Putrajaya, Wangsa Maju, Taman Tun Dr Ismail dan Labuan.

“Kaunter ini disediakan bagi membantu orang-orang yang tidak begitu mahir dengan penggunaan platform dalam talian. Kami juga hanya benarkan jumlah pengunjung yang kecil dalam satu masa,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai penyerahan sumbangan Tabung Musaaddah PPZ, Ahmad Shukri berkata, inisiatif itu diwujudkan sejak 1 April lalu bagi membantu meringankan bebanan orang awam yng terjejas dengan pelaksanaan PKP.

Beliau berkata, pihaknya telah menerima sejumlah 100,000 permohonan sumbangan berkenaan sebelum ini dari seluruh negara.

“Kami amat menghargai sokongan daripada syarikat-syarikat korporat yang sedia membantu menjayakan usaha ini,” katanya.

Portal Zakat Fitrah Online PPZ WP melalui http://fitrah.zakat.com.my/ .

SHARE
Previous articleTak Sah Tarawih Secara “Online”
Next articleCovid-19: Harga minyak dijangka kekal lemah