ISKANDAR PUTERI, 15 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengingatkan kepimpinan Johor untuk “berpijak di bumi nyata” dan memastikan tanah negeri itu tidak tergadai kepada pihak tidak sepatutnya.

Ahmad Zahid berkata, Johor di bawah kepimpinan Menteri Besar, Mohamed Khaled Nordin sudah membuktikan negeri paling terkehadapan dalam aspek kemajuan.

Kemajuan dan pencapaian dikecapi Johor yang disifatkan luar biasa adalah hasil usaha keras pentadbiran.

Sehubungan itu, katanya, Johor perlu belajar daripada negeri sebelum ini yang jatuh ke tangan pembangkang dan kemudian melupakan jasa serta sumbangan kerajaan.

“Saya akan berasa sedih jika ada daki-daki politik yang memberi pandangan negetif dengan apa yang dihamparkan”

“Seperti negeri terdahulu sebelum Johor, sebuah negeri yang maju, sudah terdampar, negeri tidak dapat lagi dipijak oleh kita, negeri yang mempunyai pelaburan langsung asing, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), infra dan komunikasi terbaik, terlepas ke tangan orang lain” katanya.

Beliau berkata demikian berucap menyempurnakan Majlis Penutup Ekspo Johor Berkemajuan 2017, di Kota Iskandar malam tadi.

Ahmad Zahid juga berkata, kemajuan fizikal yang diperlukan rakyat dianggap sebagai tanggungjawab kerajaan dan perkara itu juga berlaku di dua negeri lain yang sumbangan asal kerajaan dinafikan tanpa penghargaan.

“Saya ingin ingatkan diri saya, rakyat, pemimpin dan Kerajaan Johor jangan biarkan bumi dipijak menjadi orang lain, ini yang harus pertahankan sama-sama”

“Biarpun kita lihat bintang di langit jangan lupa rumput di bumi kerana apabila kita lupa rumput di bumi, bintang tak janji sebarang pengharapan, apabila awan semakin menebal kita akan tidak akan lihat bintang. Jadi dan kita harus berpijak bumi yang nyata,” katanya.

Ahmad Zahid juga berpesan negeri Johor yang berkemajuan perlu sentiasa mendapat sokongan semua pihak.

Selain itu katanya, penganjuran Ekspo Johor Berkemajuan 2017 adalah satu usaha luar biasa dan tidak pernah dianjurkan seumpamanya.

“Kemajuan Johor bukan untuk menunjuk-nunjuk atau riak tetapi menjadi persaingan mewujudkan satu kerjasama dan saling membantu antara (negeri) yang lain,” katanya. –