PENAMPANG (Sabah) – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman hari ini berkata Barisan Nasional (BN) Sabah menyokong penuh dan berdiri teguh di belakang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“BN Sabah berdiri teguh di belakang Perdana Menteri Datuk Seri Najib,” katanya.

Musa berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan penyampaian dividen Sabah Credit Corporation (SCC) kepada kerajaan negeri dan menghadiri sambutan ulang tahun ke-60 SCC di sini.

Beliau mengulas kritikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Najib.

Sementara itu berucap di majlis sambutan ulangtahun itu, Musa berkata, SCC perlu mengukuhkan serta meningkatkan keupayaannya sebagai sebuah perkhidmatan pinjaman kewangan negeri agar terus kekal relevan dalam ekonomi global semasa.

Musa yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, beliau juga amat berbesar hati dengan usaha SCC yang turut memainkan peranan dalam membantu rakyat khusus di luar bandar. Menurut beliau, kerajaan menyokong penuh inisiatif SCC dalam menyumbang 10 peratus keuntungannya untuk melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) di negeri ini.

“Saya difahamkan SCC telah meminta 24 hostel untuk beberapa buah sekolah di Sabah, rumah anak yatim (enam) dan beberapa pusat komuniti bagi ibu-ibu tunggal,” tambah beliau lagi.

SHARE
Previous articleRinggit Ditutup Rendah Berbanding Dolar AS
Next articlePPPM(PT) Akan Menjadi Pemangkin Transformasi – Najib Razak