KUALA LUMPUR, 17 Okt – Petronas meneruskan tradisinya memeriahkan sambutan perayaan di Malaysia dengan menghasilkan iklan berbentuk filem web sempena sambutan Deepavali tahun ini.

“Bertajuk Cinta Pertama Arathi, filem web berdurasi 4 minit 27 saat itu, menampilkan 5 kanak-kanak yang turut muncul dalam iklan sambutan perayaan PETRONAS sepanjang tahun ini, Filem web sambutan Deepavali yang juga dikenali sebagai Festival Cahaya itu, mengangkat tema nilai persahabatan dan peri penting amalan bermaaf-maafan.

Kisahnya terarah mengenai Arathi yang jatuh hati pada seorang pelajar baharu di kelasnya bernama Ivan.

Rakan sekelasnya kemudian ternampak Arathi sedang melukis nama Ivan di buku nota, lalu mengusik perasaan cintanya terhadap Ivan.

Secara tidak sengaja, usikan itu melukakan hati Arathi hingga menyebabkan dia merajuk dengan tiga orang rakan sekelasnya.

“Ketiga-tiga rakan sekelas itu kemudian berusaha memujuk Arathi dan akhirnya berkunjung ke rumah Arathi sewakty Sambutan Deepavali dan memohon maaf atas kenakalan dan usikan mereka”

Arathi dengan hati terbuka, memaafkan mereka dan secara tidak langsung menyedari kepentingan memaafkan antara satu sama lain. Perbuatan yang kelihatan mudah, namun memberi kesan mendalam terutama dalam mengukuhkan ikatan persahabatan mereka.

Filem web yang boleh disaksikan di Youtube itu adalah kesinambungan komitmen PETRONAS mempromosikan keharmonian dan perpaduan menerusi kempen perayaannya, dengan mengetengahkan kepelbagaian budaya di Malaysia serta perkongsian nilai hidup yang menyatukan serta menjadi identiti rakyat negara ini.

Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Zahariah Abd Rahman, berkata filem web itu mendukung nilai dan semangat sambutan Deepavali, iaitu menghidupkan cahaya kebijaksanaan, kebaikan dan kasih sayang.

“Cinta Pertama Arathi adalah filem web perayaan PETRONAS yang terakhir tahun ini dan kami berbangga kerana dapat mengakhiri kempen ini dengan satu kisah yang dekat dengan rakyat Malaysia dan diharap meninggalkan kesan di hati mereka.

“PETRONAS berharap mesej perpaduan dan keharmonian yang cuba disampaikan,terus bergema dalam kalangan rakyat Malaysia dan menjadi peringatan kepada kita mengenai nilai yang menyatukan kita sebagai satu negara,” katanya.

Selain menerusi YouTube PETRONAS Official, orang ramai boleh menonton filem web itu di www.petronasofficial.com bermula Sabtu lalu. Iklantelevisyen berdurasi 90 saat yang dihasilkan daripada filem web itu juga akan ditayangkan bermula Sabtu sehingga 27 Oktober ini.

SHARE
Previous articleHimpunan Pembangkang Gagal – Noh
Next articleJangan Sabotaj, Penduduk Perlu Bersatu – Noh Omar