Sejak minggu lalu hangat diperkatakan mengenai isu kluster ‘kayangan’ apabila petugas barisan hadapan berkongsikan pengalaman berhadapan dengan golongan itu yang disifatkan terlalu ‘demand’ serta menjengkelkan. Malah, mereka juga tidak memberikan kerjasama yang baik sewaktu kuarantin.

Ramai yang bengang dengan sikap golongan itu yang tidak beradab serta cerewet. Isu tersebut turut mendapat perhatian kumpulan Drama Band yang telah melancarkan single terbaru mereka yang berjudul Kayangan, sememangnya ditujukan khas untuk golongan tersebut sebagai teguran untuk mereka.

Menurut vokalis kumpulan itu iaitu Aepul Roza, mereka bersedia menerima kecaman netizen sekiranya lagu sindiran itu tidak dapat diterima oleh orang ramai.

Sebenarnya saya dah bersedia jika ada pihak yang kecam sebab keluarkan lagi lagu berbaur sindiran. Bagi saya, sampai bila nak hidup dalam ‘takut’ untuk menyuarakan apa dalam hati kita?

Alhamdulillah, buat masa sekarang ini saya lihat lagu ini dapat diterima pendengar dan rata-ratanya setuju dengan lirik dalam lagu tersebut. Saya buat keputusan untuk memulakannya agar mungkin ada orang lain dapat jadikan ini contoh.

Namun, setakat ini lagu berunsur sindiran itu mendapat respon yang baik daripada netizen dan sudah mendapat lebih 93,000 jumlah tontotan di YouTube.

Kluster ‘kayangan’ merujuk kepada segelintir rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dilaksanakan. Golongan ini didakwa sering merungut dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada petugas kesihatan ketika proses pengambilan sampel dijalankan.

Sumber Berita : mStar Online