SERDANG, 18 Mac  – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan memperkenalkan harga lantai untuk hasil pertanian mulai tahun depan bagi membantu peladang dan nelayan menikmati pendapatan yang lebih stabil.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penetapan harga lantai membolehkan agensi di bawah kementerian seperti Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membeli ikan dan buah-buahan pada harga yang munasabah ketika berlaku lambakan.

Beliau berkata orang tengah akan mengambil kesempatan ketika harga ikan dan buah-buahan terlalu rendah ketika berlaku lambakan dengan membeli hasil tani berkenaan, memproses atau menyejuk beku produk pertanian itu sebelum menjualnya pada harga berlipat ganda.

“Apabila berlaku lambakan petani akan tertekan kerana harga produk tani mereka jatuh teruk. Sebagai contoh rambutan terpaksa dijual pada harga 40 sen sekilogram dan durian 50 sen sebiji. Petani tidak ada pilihan selain tetap menjual produk mereka.

Harga lantai memastikan pendapatan petani dan nelayan tidak terjejas apabila harga hasil tani mereka jatuh,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2015 kementerian itu di sini, Rabu.

Ismail Sabri memaklumkan sejak tahun lepas Nekmat dan FAMA sudah mula membeli ikan dan buah-buahan apabila mendapati harga kedua-dua hasil tani itu jatuh teruk.

Ikan yang dibeli oleh Nekmat ialah pelaling, kembung, selar, cencaru, kerisi, tongkol dan tiga jenis ikan air tawar manakala FAMA membeli buah durian dan cempedak, katanya.

Beliau berkata hasil tani seperti ikan dan durian yang dibeli dengan harga lantai perlu disejuk beku atau diproses untuk dipasarkan.

Selain disejuk beku ikan-ikan yang dibeli boleh diproses untuk dijadikan bebola ikan atau kek ikan, katanya.