PUTRAJAYA-Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membangunkan aplikasi Al-Quran untuk golongan cacat pendengaran bagi membolehkan golongan itu menghayati Al-Quran dengan lebih baik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, pihak Jakim akan terus berusaha memastikan semua umat Islam memahami dan menghayati isi kandungan Al-Quran termasuk golongan orang kurang upaya (OKU).

“Ketika ini aplikasi tersebut telah menunjukkan kemajuan sehingga 30 peratus iaitu mencapai juzuk ke-12.

“Aplikasi ini membolehkan individu yang mengalami masalah pendengaran dapat menghayati dan membaca al-Quran mengikut kaedah mereka. Pada masa sama, dengan peruntukan yang ada kita akan memperhebatkan al-Quran braille untuk golongan buta.

“Kita mahu al-Quran dihayati oleh semua orang baik yang pekak dan buta sementelah kita yang sihat tidak hayati tidak tahulah. Amat memalukan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Malaysia #QuranHour di Masjid Putra di sini hari ini.

Turut hadir dalam program tersebut, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim; Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub dan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Datuk Dr. Mohd Daud Bakar.

Sementara itu, Hussamuddin berkata, pihaknya berhasrat menjadikan Program Malaysia #QuranHour sebagai agenda nasional.

“Hasrat kami adalah program ini dijadikan sebagai sebahagian daripada sambutan Hari Kemerdekaan setiap tahun kerana Al-Quran ini sesuai dengan agenda kerajaan ketika ini iaitu ‘Negara Rahmah’.

“Dari awal penganjuran Quran Hour ini, kami telah berkempen untuk memperkenalkan mengangkat imej ‘Negara Berbudi dan Penyayang’ yang bertepatan dengan konsep Negara Rahmah,” katanya.

Sumber : WILAYAHKU
Oleh AZLAN ZAMBRY