KUALA LUMPUR, 17 OKT – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengesa penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Subang 1 menghentikan budaya sabotaj dan bersatu hati demi kepentingan bersama penduduk.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, langkah KPKT mengambil alih pengurusan PPR berkenaan kerana beliau ingin membela nasib penduduk yang tinggal di 3,004 unit PPR itu daripada terus menjadi mangsa politik pembangkang termasuk menaikkan kadar bayaran sewa daripada RM124 kepada RM250 sebulan bagi setiap unit.

“Saya hendak beri kualiti hidup dan persekitaran yang lebih baik kepada penduduk, jadi penduduk perlu bersatu, saya dah beri peruntukan untuk menyelenggara kemudahan dan infrastruktur, tapi ada yang sabotaj dengan merosakkan harta benda awan di sini,”

Beliau juga menggesa penduduk tidak lagi membuat bayaran sewa bulanan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tapi terus membuat bayaran kepada KPKT kerana KPKT telah mengambil alih pengurusan PPR ini.

“Ini bukan soal politik, tapi saya hendak bela nasib orang miskin, saya lihat ramai hidup susah, sebab itu saya datang untuk membantu nasib penduduk di sini”, katanya

Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis sumbangan wang tunai kepada 500 penduduk berketurunan India di PPR Lembah Subang sempena Deepavali, di sini hari ini.

“Tanah dan bangunan ini milik kementerian tetapi bayaran sewa diambil oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di bawah kerajaan negeri sejak 2003. Malangnya sejak PKR mengambil alih Selangor pada 2008 hingga kini mereka langsung tidak menyelenggara kemudahan dan infrastruktur di sini”, katanya

Sebelum ini Noh pernah menyatakan kementerian berhasrat ingin mengambil alih pengurusan di PPR Lembah Subang tetapi mengalami halangan daripada kerajaan negeri Selangor yang meminta bayaran semula sebanyak RM60 juta.

SHARE
Previous articleCinta Pertama Arathi, Tema Iklan Deepavali Petronas
Next article500 Golongan Kurang Berkemampuan Dibantu