SANDAKAN, 27 Mac – Kerajaan menitikberatkan pelaksanaan program yang diyakini berguna dan bermanfaat kepada rakyat dan negara, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Menurutnya ia merupakan komitmen berterusan kerajaan khususnya pemberian bantuan bagi meringankan beban rakyat yang memerlukan.

Beliau berkata bantuan tersebut antaranya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang pada tahun ini jumlah bantuan diberikan meningkat sesuai dengan keperluan penerima.

Bantuan itu sedikit sebanyak mampu mengurangkan beban penerima khususnya mereka yang sangat memerlukan, katanya pada Majlis Penyampaian BR1M 4.0 di sini Jumaat.

Seramai 1, 232 orang menerima bantuan bagi kawasan Parlimen Libaran, iaitu 920 penerima bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga, manakala 312 orang merupakan penerima bagi DUN Gum Gum.

Penerima terdiri daripada tiga kategori iaitu bujang yang menerima RM350, ketua isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah (RM950) dan isi rumah berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000 (RM750).

Musa berkata sebagai kerajaan prihatin dengan rakyat, pemberian BR1M diteruskan malah jumlah dinaikkan, seterusnya menidakkan dakwaan pembangkang bahawa pemberian bantuan itu tidak memberi manfaat kepada rakyat.