KUCHING, 24 Mac – Ketua masyarakat perlu bantu menyampaikan agenda kerajaan kepada akar umbi bagi memastikan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat akan lebih berkesan, kata Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Beliau berkata jika agenda, program serta projek kerajaan disampaikan kepada rakyat, usaha itu dapat menyelesaikan sebarang kekeliruan yang timbul dalam kalangan masyarakat.

“Ini adalah satu komitmen ketua masyarakat yang dilantik kerajaan untuk menyampaikan pula kepada rakyat sebarang program kerajaan. Jangan hanya datang seminar bila pulang diam, tidak sampaikan kepada rakyat apa yang diperkatakan oleh kerajaan…perlu sampaikan apa yang telah kerajaan lakukan dan bakal laksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Seminar Kepimpinan Akar Umbi Negeri Sarawak 2015, di sini Selasa. Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Exco Luar Bandar dari seluruh negara serta barisan Kabinet negeri.

Seminar siri pertama anjuran kerajaan negeri bersama-sama KKLW menerusi Institut Kemajuan Desa (Infra) dihadiri 685 orang ketua masyarakat, ketua kaum dan setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dari Kuching, Bau dan Lundu.

Sementara itu, Adenan berharap kerajaan sedia ada di bawah pimpinan beliau terus diberi mandat pada pilihan raya negeri akan datang.

Katanya beliau memerlukan tempoh sekurang-kurangnya sepenggal lagi untuk melaksanakan dasar dan program pembangunan yang dirancang di negeri ini, sejak mengambil alih tampuk kepimpinan Sarawak pada 28 Feb tahun lepas.

“Apabila memegang jawatan Ketua Menteri saya umumkan tarif elektrik diturunkan, sedangkan di Semenanjung naik. Saya juga sedang berunding untuk memansuh tol di negeri ini.

“Jadi kesimpulannya jika cinta Sarawak, kita tahu apa patut buat supaya negeri ini selamat, berjaya dan maju di masa akan datang,” katanya.

Pada majlis itu, Mohd Shafie turut menyampaikan bayaran elaun JKKK Negeri Sarawak 2015 berjumlah RM121 juta dan peruntukan Program Bantuan Rumah sebanyak RM50 juta kepada kerajaan negeri.

KKLW memperuntukkan sejumlah RM877.5 juta untuk Projek Pembangunan Infrastruktur di Sarawak bagi tahun ini

SHARE
Previous articleDAP Akan Putuskan Hubungan Dengan Hadi – Lim Guan Eng
Next articlePengendali Takaful Harus Fahami Peluang Di ASEAN – Wahid