SEMPORNA – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bercadang membina sebuah kilang memproses rumpai laut di daerah ini bagi mengatasi pengawalan harga yang kini dimanipulasi oleh sebuah kilang.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pada masa sekarang, kilang tersebut membeli rumpai laut pada harga rendah dan ia menjadi cabaran kepada pengusaha rumpai laut untuk memasarkan hasil mereka.

Katanya kerajaan mengambil perhatian untuk mengatasi masalah itu sejajar dengan langkah kerajaan untuk memperluaskan industri rumpai laut di daerah ini.

“Cadangan membina kilang itu akan diberi keutamaan dalam Rancangan Malaysia ke-11,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Agrobank Cawangan Semporna dan pelantikan Agroagent peringkat negeri di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu melawat Projek Agropelancongan Rumpai Laut Peladang di Pulau Ligit-Ligitan dekat sini.

Di bawah projek itu yang bermula 2011, kawasan diusahakan dengan rumpai laut melibatkan 150 hektar dan membabitkan 25 peserta.

Ismail Sabri berkata kilang yang diwujudkan itu akan dikendalikan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Semporna.

Katanya untuk langkah jangka pendek mengatasi harga rendah rumpai laut di pasaran, kementeriannya akan mewujudkan sebuah pusat pengumpulan bagi membolehkan PPK membeli dari pusat itu dan dapat meningkatkan harga rumpai laut di pasaran.

Beliau berkata industri rumpai laut akan diperluaskan khususnya di daerah ini dan kementeriannya telah menubuhkan sebuah jawatankuasa yang beliau pengerusikan untuk melakukan pemantauan.

Katanya tumpuan diberikan untuk melibatkan PPK sebagai agensi utama dalam pelaksanaan projek rumpai laut di daerah ini dan tidak hanya melibatkan syarikat besar.

SHARE
Previous articleRakyat Jangan Mudah Terpengaruh Fitnah Terhadap PM – Ismail Sabri
Next articleNizar Tewas YDP PAS Kampar