KOTA KINABALU – Kemudahan KK City Wifi di bandaraya ini memberi manfaat besar kepada masyarakat di Sabah.

Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman berkata, kemudahan tersebut akan membantu dan menggalakkan perkembangan industri pelancongan serta ekonomi digital.

“Kemudahan wifi di Bandaraya Kota Kinabalu pasti akan membantu memajukan produk pelancongan tempatan, sekaligus menaikkan imej bandaraya ini.

“Ia juga merupakan landasan untuk mewujudkan inisiatif awam pada masa akan datang dalam membangun serta memantapkan rangkaian digital e-kerajaan .

“Kita juga yakin ia berupaya menarik lebih banyak ‘Foreign Direct Investment’ dan menjadikan Kota Kinabalu sebagai bandaraya mesra perniagaan dan selesa untuk didiami serta dilawati,” katanya ketika berucap merasmikan majlis tersebut di sini, pagi tadi.

Tambah Musa, bersandarkan kepada teknologi dalam bandaraya pintar, pengguna boleh melakukan kerja di mana sahaja mereka berada pada bila-bila masa sahaja.

Keadaan itu, katanya, akan membolehkan masyarakat melakukan banyak perkara dalam satu mas, di samping dapat meningkatkan keberkesanan dan produktiviti negeri dan negara.

Beliau juga optimis kemudahan itu akan memperbaiki dan meningkatkan lagi cara masyarakat berkomunikasi, bertukar-tukar maklumat serta menjadi medium berguna dalam ekonomi digital yang baharu serta rangkaian sosial.

“Ini sudah pasti dapat membantu dan mengubah negeri Sabah ke arah negeri yang lebih moden dan membangun sebagai Hab Digital di Malaysia,” jelas beliau.

Kemudahan wifi yang dilancar itu boleh diakses di sepanjang Jalan Tun Fuad Stephens iaitu dari Oceanus Waterfront sehingga ke Pusat Membeli belah Suria Sabah.

Hadir sama Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Tun Said Keruak; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Musbah Jamli dan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Nor Rizan Mohd Thani.

Turut hadir Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Yeo Boon Hai; Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Wilayah Sabah dan Labuan, Mazlan Othman dan Pengarah Penerangan Sabah, Swady Guliling./Penerangan-

SHARE
Previous articleKPKT Nekad ambil alih PPR Lembah Subang
Next articleNoh Kesal Keputusan Kerajaan Negeri