PETALING JAYA, 2 April – Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah (KKLW) berharap agar lebih ramai usahawan muda menyahut cabaran menyertai pertandingan Cabaran Perniagaan Luar Bandar (RBC) tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pertandingan itu yang tahun ini memasuki edisi ke-4, mempunyai objektif untuk menggalakkan penyertaan agresif golongan belia khususnya di luar bandar bagi menjadikan bidang keusahawanan sebagai pilihan mereka.

“Objektif RBC adalah demi menggalakkan golongan muda ini memilih keusahawanan sebagai kerjaya pilihan, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan, Khamis.

Mohd Shafie berharap melalui usaha kementerian mewujudkan RBC ini, usahawan generasi baharu dapat bersaing dalam mengemukakan rancangan perniagaan yang kompetitif.

Beliau berkata RBC merupakan satu pertandingan unik kerana tiada kuota atau bilangan pemenang ditetapkan saban tahun, sebaliknya lebih menumpukan usaha mencari usahawan muda yang berkualiti.

“Program RBC berbeza dari segi pendekatan dan pelaksanaan berbanding program keusahawanan lain kerana KKLW mengambil pendekatan di luar kotak bagi menjayakan idea-idea bernas yang dikemukakan golongan belia,” katanya.

Mereka yang berminat untuk menyertai cabaran RBC 2015 boleh melayari laman rasmi di www.rbc.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Melalui pertandingan itu, belia Malaysia berumur antara 18 hingga 40 tahun dikehendaki menyediakan Rancangan Perniagaan yang menguntungkan dan berdaya maju dalam empat sektor iaitu, Pertanian Moden, Industri Pembuatan, Perkhidmatan dan Pelancongan Desa.

SHARE
Previous articleSamsung Perkenal Model Terkini Galaxy S6, S6 Edge
Next articleRM200 Juta Disediakan Menerusi Dana Bumiputera Al-Ansar