PUTRAJAYA, 13 Sept (Malaysiaaktif) -Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sedang mengkaji satu polisi (dasar) berkenaan data dan kecerdasan buatan atau (artificial intelligence) (AI) yang signifikan dalam Revolusi Industri 4.0.

Menterinya Gobind Singh Deo berkata Malaysia berpotensi menjadi pusat di rantau Asia Tenggara yang memfokuskan kepada pembinaan bakat untuk meningkatkan pengetahuan tentang AI.

“Polisi ini adalah satu perkara yang menjadi keutamaan kementerian saya. Kita sedang mencari dan merumuskan data dan dasar AI. Dalam keadaan seperti ini ia membawa pihak berkepentingan bersama-sama dan kita mendapat input daripada mereka tentang kekhuatiran mereka.

“Kita sedang dalam proses mendengar input daripada semua pihak berkepentingan dan selepas itu kita akan duduk dan merumuskan dasar. Setelah dasar sudah siap, saya akan membawanya ke kabinet, “katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada Perbicaraan Terbuka UNESCO mengenai Akses Kepada Maklumat ‘ Tiada Sesiapa Yang Tertinggal Di Belakang’ di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Terdahulu, Gobind juga melancarkan persidangan dan pameran tahunan ‘Next Big Tech Asia 2019 kali ketiga di mana pemimpin industri terbesar dari Forbes, UNESCO dan Air Asia berkongsi pengalaman dan pengetahuan mereka mengenai masa depan dan impak AI dan Big Data.

Apabila ditanya bilakah polisi akan diumumkan, Gobind berkata beliau tidak mahu meletakkan tempoh masa kerana tidak mahu tergesa-gesa dan menegaskan bahawa perkara yang paling penting adalah perbincangan mendalam bagaimana polisi itu dapat memberi manfaat kepada data dan AI.

“Seperti yang anda ketahui teknologi berkembang setiap hari dan menjadi lebih kompleks. Perbincangan keseluruhan mengenai data dan AI … mungkin pada pertengahan tahun depan … saya tidak pasti, “tambahnya.

Sementara itu mengulas mengenai kemungkinan kemungkinan kenaikan caj Pos Malaysia Bhd, Gobind berkata beliau akan membuat pengumuman tidak lama lagi, sekurang-kurangnya menjelang sesi Parlimen akan datang.

Menjelang sidang parlimen yang akan datang, kita melihat pada sesuatu tetapi untuk berlaku adil kepada mereka, akan ada perbincangan dan mereka (Pos) seharusnya berkongsi dengan saya laporan mengenai ini … sebaik saya mendapat laporan, saya akan mengadakan sidang akhbar dan saya akan memberitahu anda semua apa arah tujunya , “kata beliau sambil menambah bahawa perkara itu akan dilakukan menjelang akhir tahun ini.

Baru-baru ini terdapat spekulasi bahawa Pos Malaysia mungkin memperoleh kenaikan tarif pos. Harga setem domestik meningkat kepada 60 sen pada tahun 2010 dan tidak berubah sejak tahun lepas.

Mengenai penubuhan majlis media, Gobind berkata bahawa beliau sedang menyediakan kertas kerja mengenai penubuhan majlis itu kepada Kabinet.

“Saya berharap dapat membentangkan kertas kerja itu kepada kabinet tidak lama lagi dan setelah itu saya akan mengumumkannya. Ia sedang dalam proses dan saya berharap dapat siap … minggu ini, minggu depan, tetapi pasti menjelang akhir tahun ini, “kata Gobind.

— BERNAMA

SHARE
Previous articleKampong Bharu kekal milik Melayu
Next articleDesaru International Bike Week Arena Pertemuan Global Peminat Sukan Permotoran