PETALING JAYA – Pengubahsuaian Klinik Kesihatan Kota Damansara yang telah menelan belanja sebanyak RM7.8 juta dibuka secara rasmi, di sini semalam.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Datuk Halimaton Saadiah Bohan, “Ia telah dirancang pada tahun 2006 sebenarnya kerana di kawasan Kota Damansara ini ada satu tapak yang telah dikenalpasti untuk membina klinik kesihatan tapi terlalu kecil dengan luasnya hanya 0.63 ekar sahaja.”

“Kementerian Kesihatan mengambil inisiatif membeli bangunan iaitu lot 58 dan 60, di mana Lot 58 sebanyak 5 tingkat dan lot 60 sebanyak 3 tingkat dengan harga RM3.9 juta lebih,” katanya ketika sidang media selepas majlis pelancaran klinik ini.

Jelas Halimaton, dia sentiasa memantau dan mengikuti perkembangan semasa status pengubahsuaian klinik ini.

“Saya selaku pengerusi jawatankuasa kesihatan yang telah dipertanggungjawabkan di negeri ini sentiasa memantau projek ini walaupun kita tahu bahawa projek ini sebenarnya telah bermula pada 3 Januari 2014 dan dijangka siap 30 Mac 2016.

“Disebabkan beberapa teknikal berlaku jadi akhirnya hari ini berlakulah pengoperasian pertama setelah lamanya penduduk di sini menanti dan menunggu dan akhirnya ia menjadi kenyataan,” katanya.

Tambah Halimaton, klinik ini merupakan salah satu hadiah istimewa buat penduduk setempat yang sebelum ini bersusah payah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Sungai Buloh dan Kelana Jaya.

“Ini adalah salah satu daripada usaha Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesihatan untuk kita membantu rakyat dan saya yakin ia bukan saja akan digunakan untuk kemudahan penduduk di Kota Damansara sahaja tetapi masyarakat di sekitar kawasan ini juga dapat menggunakan rawatan di sini,” katanya lagi.

Antara perkhidmatan yang disediakan di klinik ini ialah klinik pesakit luar, perkhidmatan rawatan pergigian, perkhidmatan x-ray, dan juga perkhidmatan rawatan kecemasan.

Sementara itu, klinik ibu dan anak dijangka akan beroperasi selewat-lewatnya pada Disember ini.

SHARE
Previous articleZahid Ke Bangladesh, Lawatan Kerja Rasmi
Next articleGabungan Persatuan Mudahkan Kerajaan Salur Bantuan – Zahid