TANJONG KARANG – Masalah perumahan yang dihadapi kira-kira 300 bekas pekerja dua buah ladang di sini mendapat perhatian Kementerian Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang kini sedang dalam perbincangan untuk membina kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk golongan itu.

Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata sebuah syarikat perladangan di Bestari Jaya telah bersetuju untuk memberikan tanah seluas 5.2 hektar kepada kementerian bagi tujuan itu.

“Pekerja ladang ini ketika bekerja mereka menetap di kuarters yang disediakan oleh majikan, bila mereka tua dan tidak lagi mampu bekerja di ladang itu mereka perlu keluar dari kuarters berkenaan.

Ini perkara biasa bagi mana-mana syarikat yang menyediakan rumah untuk pekerja, malah (kakitangan) kerajaan juga sama, perlu mengosongkan kuarters apabila bersara atau berhenti kerja,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan Deepavali kepada penduduk sekitar Tanjung Karang di sini hari ini.

Noh berkata demikian ketika mengulas isu penempatan yang dihadapi bekas pekerja Ladang Mary dan Ladang Sungai Tinggi, dekat sini.

Noh bagaimanapun berkata beliau tidak dapat memberikan tarikh bila projek perumahan PPR itu boleh dimulakan kerana ia perlu mematuhi beberapa syarat antaranya pertukaran status tanah dari tanah pertanian kepada tanah perumahan dan pemindahan hak milik tanah terlebih dahulu.

“Tapi hal ini telah saya usulkan sebagai salah satu keperluan kementerian untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2018,” katanya. – Bernama

SHARE
Previous articleMyBN Tidak Ada Protokol, Mengerat Hubungan Sesama Masyarakat – Noh
Next article8 Kerusi Merupakan Sasaran BN Wilayah Persekutuan