KUALA LUMPUR – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bercadang mewujudkan undang-undang untuk menguatkuasakan kebenaran iklan jualan perumahan, bagi mengelak penipuan terhadap pembeli.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata melalui undang-undang itu, syarikat pemaju perlu mendapatkan kebenaran Jabatan Perumahan Negara sebelum sebarang iklan berkaitan disiarkan di media cetak dan elektronik.

“Kami sedar terdapat penipuan yang berlaku melalui iklan di televisyen dan akhbar, jadi rakyat boleh terpedaya seolah-olah projek perumahan itu benar dan mendapat lesen,” katanya ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) mengenai langkah kerajaan dalam mengharamkan ejen projek perumahan palsu bagi mengaut keuntungan.

Menjawab soalan asal Che Mohamad Zulkifly mengenai jumlah aduan kes penipuan pembelian hartanah, Noh berkata setakat 1 Jan 2014 hingga 30 Sept tahun lepas, Jabatan Perumahan Negara menerima 207 aduan berkaitan penipuan pemaju perumahan dengan kesemua aduan berjaya diselesaikan.

Katanya, sebanyak 7,413 aduan pula diterima Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata sejak 1 Jan 2013 hingga 30 Okt tahun lalu dengan 7,108 aduan telah diselesaikan.

Noh berkata, kementeriannya berusaha membantu pembeli yang ditipu dengan memberikan kelulusan khas untuk membeli Projek Perumahan Rakyat (PPR) pada harga RM35,000 dengan sistem sewa beli, manakala bagi mereka yang mempunyai tanah, pihaknya akan memberi kelulusan khas di bawah pinjaman perumahan sebanyak RM65,000 untuk membina rumah sendiri.- BERNAMA

SHARE
Previous articlePencerahan Isu Tol Batu Tiga Dan Sungai Rasau
Next articleUmno Parti Memperjuangkan Rakyat – Mat Taib