KUANTAN – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan mahu semua Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) di seluruh negara segera menubuhkan pasukan MyBomba JPP.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar, berkata penubuhan pasukan bomba sukarela itu adalah petunjuk prestasi utama (KPI) yang harus dilaksanakan JPP di seluruh negara.

“Masih banyak JPP belum menubuhkan MyBomba,” katanya selepas majlis penyampaian watikah pelantikan JPP Pahang sesi 2017-2019 yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, di sini hari ini.

Pada majlis sama, turut disampaikan Sijil Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan yang menyaksikan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Majlis Daerah Pekan memperoleh penarafan lima bintang.

Noh berkata, pasukan bomba sukarela berkenaan akan diberikan latihan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi meningkatkan kemahiran dan kecekapan dalam menghadapi situasi kecemasan.

“Pasukan ini untuk pencegahan kebakaran yang boleh diambil penduduk terlebih dahulu sekiranya berlaku kebakaran sebelum bomba tiba.

“Penubuhan pasukan berkenaan penting terutama di rumah pangsa. Ini mesti diberikan penekanan.

“Pasukan ini juga boleh memberi maklumat kepada bomba mengenai sekolah, maahad tahfiz, rumah anak yatim dan rumah orang tua yang ada asrama bagi tujuan pemantauan aspek keselamatannya oleh bomba,” katanya.

Mengenai langkah mewajibkan lulus peperiksaan bagi pengesahan lantikan atau lanjutan tempoh lantikan JPP, Noh berkata, setakat ini tiada individu yang gagal.

“Syarat itu lebih untuk memastikan JPP membaca dan memahami tanggungjawab serta panduan ditetapkan supaya tiada yang mengambil kesempatan menjadi JPP untuk mendapatkan elaun semata-mata,” katanya.