KUANG, 13 Okt – Penduduk Pangsapuri Bandar Baru Kundang semalam menerima khabar gembira apabila Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan RM400 ribu untuk pembinaan surau dan dewan komuniti bagi kegunaan bersama.

Hal ini telah diumumkan oleh Setiausaha Politik Tan Sri Noh Omar, Datuk Faizal Abdullah, semasa program Lawatan Turun Padang KPKT ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang, di sini semalam.

Menurut Faizal, dia telah memaklumkan masalah yang dihadapi oleh penduduk pangsapuri tersebut dan Menteri KPKT meluluskan peruntukan segera bagi membina kemudahan itu untuk keselesaan penduduk.

“Bagi permohonan lain yang dikemukakan oleh pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB), Datuk Abdul Shukur Idrus selaku wakil rakyat DUN Kuang akan berunding dengan Tan Sri Noh Omar dan saya berharap akan ada lagi berita gembira yang ditunggu oleh penduduk di sini,” katanya.

Katanya lagi, KPKT turut mewujudkan Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) untuk membantu pangsapuri yang menghadapi masalah penyelenggaraan yang lebih baik berbanding dengan skim kerajaan negeri Selangor.

“Tabung TP1M ini membantu pangsapuri kos rendah atau kos sederhana rendah menyelenggara kediaman mereka seperti membaiki bumbung, mengecat bangunan secara percuma sahaja,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB), Jennie Sheau Chaw Ken berkata, dia gembira dengan pengumuman KPKT tersebut kerana pangsapuri yang berusia lebih 20 tahun itu tidak pernah dilawati oleh pemimpin atau menteri sebelum ini.

“Masalah yang dikemukakan kepada KPKT seperti membaiki bumbung, tangki air, lampu koridor, pemasangan pagar, mengecat bangunan dan pemegang tangga (hand railing) merupakan masalah yang dihadapi sejak lima tahun lalu dan sangat memerlukan bantuan,” luahnya.

Tambah Jennie, pembinaan surau dan dewan komuniti nanti akan memudahkan penduduk untuk berkumpul serta menjalankan aktiviti dan dia berharap KPKT akan memberi lagi kelulusan untuk keselesaan penduduk.

SHARE
Previous articleKenyataan Media Portal Malaysia Daily
Next articleZahid Ke Bangladesh, Lawatan Kerja Rasmi