PETALING JAYA – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan nekad mengambil alih pengurusan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Subang di sini, meskipun gagal mencapai kata putus daripada kerajaan negeri Selangor.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, langkah itu diambil kerana beliau ingin membela nasib penduduk yang tinggal di 3,004 unit PPR itu daripada terus menjadi mangsa politik pembangkang termasuk menaikkan kadar bayaran sewa daripada RM124 kepada RM250 sebulan bagi setiap unit.

Justeru katanya, pihaknya juga sedia untuk disaman oleh kerajaan PKR Selangor sekiranya perkara itu dibawa ke mahkamah.

“Tanah dan bangunan ini milik kementerian tetapi bayaran sewa diambil oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di bawah kerajaan negeri sejak 2003. Malangnya sejak PKR mengambil alih Selangor pada 2008 hingga kini mereka langsung tidak menyelenggara kemudahan dan infrastruktur di sini.

“Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara (K. N Jayaselan) telah hadir pertemuan dengan kerajaan negeri sebanyak dua kali bagi membincangkan pengambil alihan ini namun kerajaan negeri memutuskan supaya kementerian membayar RM60 juta termasuk RM30 juta bayaran tunggakan sewa.

“Jika mereka ingin saman, samanlah. Saya tidak akan bayar satu sen pun, sebaliknya kita akan mengemukakan saman balas dengan tuntutan yang sama pula kepada mereka, sebab kita telah berbincang dengan Kabinet dan Jabatan Audit mengenai pengambil alihan ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan wang tunai kepada 500 penduduk berketurunan India di PPR Lembah Subang sempena Deepavali, di sini hari ini.

Sebelum ini Noh pernah menyatakan kementerian berhasrat ingin mengambil alih pengurusan di PPR Lembah Subang tetapi mengalami halangan daripada kerajaan negeri Selangor yang meminta bayaran semula sebanyak RM60 juta

SHARE
Previous articleKPKT Tidak Mempunyai Kuasa Menentukan Harga Rumah – Noh Omar
Next articleKK City Wifi Beri Banyak Manfaat Kepada Sabah