KUALA LUMPUR – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan hari ini menggariskan lima aspek utama sebagai standard pembangunan bandar dalam tempoh 30 tahun akan datang menerusi Dokumen Agenda Perbandaran Baharu.

Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata aspek tersebut adalah Dasar Perbandaran Negara, Perundangan dan Peraturan Perbandaran, Reka Bentuk dan Perancangan Perbandaran, Sistem Kewangan Majlis Perbandaran dan Ekonomi Bandar serta Pelaksanaan Tempatan.

“Agenda ini menawarkan satu anjakan paradigma dalam cara kita berfikir, membina dan mewujudkan rantaian rakan pembangunan dalam menguruskan bandar- bandar pada masa akan datang secara holistik dan mampan.

“Dokumen Agenda Perbandaran Baharu ini berbentuk kenyataan politik yang akan mencorakkan hala tuju berkait dengan kemampanan bandar dengan menjadikannya lebih inklusif, selamat, berdaya tahan dan sejahtera,” katanya ketika merasmikan pengenalan agenda itu di sini, hari ini.

Beliau berkata dokumen berkenaan telah diterima pakai oleh 170 negara Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) semasa persidangan Habitat III di Quito, Ecuador pada 20 Okt 2016.

“Agenda ini diterjemah ke dalam Bahasa Melayu selain daripada enam bahasa utama sedia ada supaya dapat diterima pakai dalam konteks tempatan, khususnya jabatan persekutuan dan negeri serta pihak berkuasa tempatan, ” katanya.

Noh berkata antara aspek lain yang digariskan dalam dokumen tersebut adalah struktur tadbir urus, kemasukan sosial, pembangunan spatial, kemakmuran bandar dan kelestarian persekitaran.

Katanya agenda itu akan turut dibincangkan bersama negara lain pada Forum Bandar Sedunia Ke-9 yang akan diadakan dari 7 hingga 13 Feb tahun depan. – BERNAMA

SHARE
Previous articleKPKT Luluskan Peruntukan RM2.69 Juta Pangsapuri Impian Indah
Next articleHanya 80 Pusat Tahfiz Dapat Kelulusan Bomba – Noh