KUALA LUMPUR – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berjaya menyiapkan 190 projek perumahan swasta terbengkalai di Semenanjung Malaysia sejak 2009, yang membabitkan 34,451 pembeli rumah.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, jumlah itu adalah antara 253 projek perumahan swasta terbengkalai di Semenanjung Malaysia sehingga 28 Julai lalu.

“Selain itu, 15 projek dalam pelbagai peringkat pemulihan pembinaan dan 48 projek lagi dalam perancangan pemulihan,” katanya semasa menjawab soalan Datuk Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang) pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Normala bertanyakan mengenai jumlah projek dan dana yang dikeluarkan kementerian itu bagi menyiapkan projek-projek perumahan yang terbengkalai serta kriteria yang menyebabkan suatu projek perumahan dikategorikan sebagai projek terbengkalai.

Noh berkata, bagi memulihkan 32 projek sahaja, kerajaan membelanjakan RM219.54 juta.

Menurutnya projek perumahan dikategorikan sebagai terbengkalai jika ia tidak siap mengikut tempoh perjanjian jual beli serta tiada aktiviti ketara di tapak pembinaan selama enam bulan secara berterusan atau pemaju memaklumkan tidak berupaya meneruskan projek itu