PETALING JAYA – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak mempunyai kuasa untuk menentukan harga atau perbezaan nilai rumah di setiap negeri.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, sebaliknya mekanisme tapak, pembinaan kediaman hingga harga ditentukan sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

“Yang pertama, saya kena jelaskan bahawa untuk menentukan harga rumah ini bukan kuasa KPKT, bukan kuasa saya.

“Ini adalah kuasa kerajaan negeri. Itu sebab setiap negeri mempunyai harga yang berlainan memandangkan segala urusan premium tanah, harga tanah, kelulusan membina semua (di bawah) kuasa kerajaan negeri.

“Yang kami punya kuasa, kita hanya memberi Permit Iklan dan Lesen Pemaju (APDL). Itu kuasa kita, itu kena jelas,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan wang tunai kepada 500 penduduk berketurunan India di PPR Lembah Subang sempena Deepavali di sini hari ini.

Perkiraan mengikut Pendaraban Medium Demografia Antarabangsa sebelum ini melaporkan, hanya isi rumah dengan pendapatan sekurang-kurangnya RM10,757 mampu membeli rumah pada harga purata yang dijual di negara ini.

Ini kerana, purata harga rumah pada 2016 ialah RM387,258 sedangkan pendapatan median rakyat Malaysia hanya RM5,228 sebulan.

Purata harga rumah pada 2014 pula ialah RM280,886 sekali gus menjadikan purata harga rumah yang dijual sebagai amat tidak mampu milik.

SHARE
Previous article500 Golongan Kurang Berkemampuan Dibantu
Next articleKPKT Nekad ambil alih PPR Lembah Subang