KOTA KINABALU, 30 Mac – Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) tetap relevan sebagai rakan strategik kerajaan negeri ke arah peningkatan sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Isnin.

Musa yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata KYS perlu terus memainkan peranan yang lebih berkesan dengan bertindak sebagai agensi pembangunan kerajaan.

Menurutnya, yayasan itu harus dilihat sebagai sebuah organisasi yang sentiasa bersama-sama rakyat dan seterusnya menjadi penghubung antara rakyat dan kerajaan.

“KYS mesti bersedia memikul tanggungjawab sebagai sebuah organisasi terunggul yang komited terhadap tanggungjawab sosial dan memanfaatkan segala peluang ekonomi,” katanya ketika berucap pada majlis 20 tahun beliau berkhidmat bersama-sama KYS di sini, Isnin.

Musa turut menzahirkan kesyukuran terhadap sokongan yang diberikan oleh semua pihak dalam membantu Sabah mengecapi nikmat pembangunan dan kemajuan dalam pelbagai sektor.

“Meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk kelembapan ekonomi global, pertumbuhan ekonomi negeri terus kukuh dan mampan.

“Pelaburan asing dan domestik menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan untuk memacu ekonomi negeri sekali gus menyokong strategi dan program pembangunan yang kami laksanakan,” katanya.

Pada majlis itu, Musa turut melancarkan Buku Transformasi KYS 2013-2023, iaitu buku pelan strategik melibatkan rangka tindakan menyeluruh merangkumi semua program sosial dalam Yayasan Sabah.

SHARE
Previous articleKeuntungan Sebelum Cukai Astro Naik Kepada RM720.9 Juta
Next articleMetro Wifi Sedia Wifi Percuma Kepada Warga Kota