Oleh: M.Z Awe

GOMBAK, 21 Nov – “Kami mahu berjumpa dan mengadakan dialog bersama Azmin Ali, telah banyak kali adakan perbincangan dengan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) namun tiada jalan penyelesaian”.

Demikian luahan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Melawati Zon A, B dan C, Razman Hakimi Abdullah, mengenai kebimbangan penduduk kawasan tersebut berkaitan satu projek mewah di Jalan Melawati 3 yang tidak berjalan lancar dan terhenti beberapa kali sejak tiga tahun lalu.

“Pada September dan Oktober saya bertanya kepada MPAJ mengenai projek ini untuk mengetahui masalah dan sebab projek berhenti, namun jawapan yang diberi adalah projek itu akan disambung bulan hadapan, itu jawapan yang kami terima setiap kali dibangkitkan kepada pihak tersebut.

“Kami bimbang projek tersebut menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes kerana kawasan ini merupakan antara lokasi panas demam denggi di daerah Gombak ketika ini, lagi pun tiada tarikh projek bermula dan dijangka siap dipaparkan di papan tanda,” jelas Razman.

Tambahnya, kebimbangan penduduk terhadap projek kondominum 20 tingkat itu berdasarkan pemilik hartanah yang sama turut menjadi pemaju bagi pembinaan bangunan komersial tersebut.

“Ini mendatangkan risiko sekiranya pemaju tersebut tidak mampu meneruskan pembinaan bangunan komersial itu, maka pembinaan akan terbengkalai kerana pemaju itu sendiri merupakan pemilik hartanah itu.

“Keadaan berbeza jika pemaju dilantik dari syarikat yang berbeza kerana pemilik mempunyai pilihan untuk melantik pemaju yang baru sekiranya pemaju sedia ada gagal melaksanakan tugas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin, berkata sebelum Azmin Ali bercakap tentang kehebatannya mentadbir negeri Selangor, dia seharusnya menyelesaikan masalah rakyat di kawasan yang diwakilinya, parlimen Gombak.

Kerisauan persatuan penduduk kerana dimaklumkan sudah empat bulan projek ini terhenti dan mereka tidak mendapat maklumat yang tepat serta maklum balas yang sewajarnya daripada pihak berkuasa negeri, ujarnya.

“Datang lah berjumpa dengan persatuan penduduk ini, selesaikan masalah mereka, jangan pula diabaikan parlimen Gombak dan mencari kawasan yang selamat untuk bertanding,” sindir beliau.

SHARE
Previous articleUmno Parti Memperjuangkan Rakyat – Mat Taib