TAMBUNAN, 21 Mac – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman mencadangkan kerajaan pusat supaya menambah kuota Program Perumahan Rakyat (PPR) untuk negeri ini daripada 1,000 unit kepada 3,000 unit setahun.

Beliau berkata penambahan kuota itu wajar dipertimbangkan bagi memastikan lebih ramai rakyat berkelayakan dan amat memerlukan bantuan perumahan mendapat manfaat daripada program PPR itu.

“Saya telah banyak kali memberi pandangan, selaku ketua kerajaan negeri, bahawa PPR ini sangat popular, memberi banyak manfaat kepada rakyat dan sentiasa dinanti-nantikan. Sekarang ini, 1,000 unit PPR yang diberi tidak mencukupi.

“Kalau boleh ditingkatkan daripada 1,000 unit kepada 3,000 unit supaya pengagihannya bertambah di semua daerah di Sabah. Setiap daerah banyak meminta PPR, dan dengan adanya penambahan unit, sudah tentu akan memberi banyak peluang kepada mereka yang tidak mempunyai rumah mendapat rumah,” katanya.

Musa yang juga Menteri Kewangan negeri berkata demikian kepada memberita selepas mendapat taklimat mengenai pembangunan Tambunan dan Keningau di sini, Sabtu. Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

“Saya berharap ini (permintaan tambahan unit PPR) dapat diambil berat oleh pihak tertentu khususnya kementerian yang melaksanakan program ini,” katanya.

Mengenai tanggungjawab penyelarasan pelaksanaan pembinaan PPR berkenaan, Musa berkata sejak awal lagi kerajaan negeri Sabah mengemukakan cadangan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tanggungjawab itu diberikan kepada Pejabat Daerah yang diketuai oleh Pegawai Daerah.

Sementara itu, Musa mengingatkan penjawat awam persekutuan dan negeri supaya terus bekerjasama dengan erat bagi menjayakan projek dan program untuk rakyat.

Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan persekutuan yang diterajui Najib kerana sentiasa mengambil berat mengenai permasalahan yang dihadapi Sabah denga meluluskan keperluan yang diminta atas kesedaran bahawa kelulusan berkenaan untuk kesenangan rakyat keseluruhannya.