MALIM NAWAR – Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tewas dalam pertandingan jawatan Yang Dipertua Pas Kawasan Kampar yang dipegangnya selama 14 tahun kepada pencabarnya, Mohd Sofian Rejab.

Keputusan itu diumumkan oleh Pengerusi Tetap, Sulaiman Hamzah pada Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kampar kali ke-27 di Kampung Tersusun Malim Nawar di sini, semalam.

Peralihan kuasa juga berlaku bagi jawatan Timbalan YDP Pas Kampar apabila penyandangnya, Amran Harun tewas kepada calon baharu, Anuar Morat.
Bagaimanapun, bagi jawatan Naib YDP Pas Kawasan Kampar, Abdul Hamid Alang mengekalkan jawatan tersebut bagi penggal ini.

Kekalahan Mohammad Nizar yang juga Pengerusi PR Perak dipercayai dipengaruhi isu kenyataan bersama PR Perak mengenai isu Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan yang dikeluarkan sebelum ini.

Selain itu, isu hilang kepercayaan yang diluahkan oleh Dewan Ulama Pas Negeri baru-baru ini terhadap Mohammad Nizar juga, sedikit sebanyak memberi kesan kepada perubahan kepimpinan Pas Kawasan Kampar.

Keputusan berkenaan dilihat sebagai satu kejutan besar di dalam kepimpinan Pas Perak memandangkan Mohammad Nizar sudah pun menerajui kawasan itu dalam tempoh lama.

SHARE
Previous articleKilang Memproses Rumpai Laut Akan Dibina – Ismail Sabri
Next articleCelcom Perkenal Doowit, Perkhidmatan Kirim Wang