BINTULU, 31 Mac – Pembinaan lebuh raya Pan Borneo yang dilaksanakan dengan konsep Kerjasama Awam-Swasta (PPP) dapat meminimumkan risiko di samping memastikan kos pelaksanaannya tidak naik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata menerusi konsep ini pemaju projek akan menanggung risiko terhadap kemungkinan kos pembinaannya naik atau projek tidak dapat disiapkan mengikut jadual, dan mereka pasti akan memilih perunding yang benar-benar berkemampuan bagi memastikan semuanya berjalan lancar.

Menurutnya apa yang lebih penting adalah kerajaan berusaha sedaya upaya untuk memaksimumkan nilai pulangan kepada projek pembinaan lebuh raya itu, dan memastikan ia bukan saja membawa kesan berganda kepada ekonomi Sarawak, khususnya di setiap bandar yang dilalui oleh lebuh raya itu, malah juga kepada kawasan-kawasan pedalaman di sekitarnya.

“Jadi kita mesti rancang supaya lebih ramai usahawan baharu yang boleh kita lahirkan menerusi lebuh raya ini, mesti tentukan bagaimana hasil pertanian misalnya di kawasan desa, boleh dipasarkan di R&R yang disediakan, menentukan ia mendatangkan hasil yang maksimum,” katanya dalam persidangan media selepas melancarkan projek pembinaan lebuh raya Pan Borneo Sarawak di R&R (kawasan rehat dan Rawat) Bakun, Km 52 Jalan Bintulu-Miri di sini Selasa.

Pan Borneo Sarawak merupakan projek kerajaan Persekutuan yang membabitkan laluan sejauh 1,076 km antara Tanjung Datu dan Merapok di sempadan Sarawak/Sabah bernilai lebih RM13 bilion yang dijangka siap sepenuhnya pada 2023.

Majlis hari ini turut menyaksikan Perdana Menteri menyerahkan surat komitmen Dana Pembangunan kepada 75 syarikat kontraktor yang dipilih, yang terdiri daripada kalangan syarikat-syarikat anak tempatan dari Sarawak, yang terbabit dalam pembinaan lebuh raya itu.

Najib berkata apa yang turut ditekankan dalam projek pembinaan lebuh raya itu ialah ia perlu membabitkan kalangan kontraktor, perunding dan juga subkontraktor dari pelbagai kalangan etnik di Sarawak.

Beliau berkata selain dari sudut ekonomi dan memendekkan perjalanan, lebuh raya itu juga penting dari aspek keselamatan kerana perjalanan darat terbukti pengangkutan paling selamat, dan laluan dua lorong yang disediakan akan menambahkan lagi keselamatan dan keselesaannya.

Perdana Menteri seterusnya menjangka beliau akan kembali ke Sarawak untuk melancarkan projek pembinaan fasa kedua lebuh raya itu yang membabitkan laluan 40km antara Tanjung Datu dan Sematan pada September ini.

Turut hadir di majlis itu ialah Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, Timbalannya Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan lain-lain barisan menteri, serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri dan persekutuan

SHARE
Previous articleKerajaan Iktiraf Pelajar Cemerlang – Muhyiddin Yassin
Next articlePan Borneo: Tidak Akan Dikenakan Tol – Najib