KOTA BELUD – Sejak pembentukan Malaysia pada September 1963, kerajaan pusat membawa pembangunan berterusan ke Sabah dan Sarawak.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata selain pembangunan, kerajaan pusat juga telah banyak mendengar suara rakyat Sabah termasuk pelantikan jawatan pemimpin tempatan ke dalam Kabinet Persekutuan.

“Kita baru saja menjuarai Sukan SEA ke-29, kemudian menyambut Hari Kebangsaan serta Hari Raya Aidiladha dengan aman, harmoni dan bersatu padu.

“Ini ialah nikmat kemerdekaan hasil perjuangan para pemimpin terdahulu yang menyatukan Sabah dan Sarawak pada tarikh keramat itu.

”Fikirkanlah, andai kata kita tidak menyertai pembentukan Malaysia, apa nasib anak-anak bangsa jika kita memilih untuk bersama Filipina atau Indonesia yang sampai hari ini menghadapi masalah perpaduan?

”Kerajaan pusat telah banyak mendengar permintaan kita.

“Dahulu kita hanya ada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, tetapi kini yang mewakili Kadazan Dusun dan Murut (KDM) sahaja telah ada tiga orang menteri penuh,” ujarnya.

Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Usukan berkata rakyat Sabah perlu bersyukur dan terus memberi sokongan kepimpinan Perdana Menteri pada hari ini.

”Kita perlu bersyukur atas nikmat merdeka yang kita peroleh dan terus menyokong pemimpin-pemimpin supaya mereka dapat merancang kemajuan dan kemakmuran negara.

”Bukan setakat pembangunan, malah jawatan ketua-ketua jabatan persekutuan di Sabah juga telah ada yang diterajui anak tempatan.

“Contohnya, Jabatan Pendidikan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Universiti Malaysia Sabah (UMS), bukan sahaja diketuai orang Sabah, malahan ketiga-tiganya berasal dari Kota Belud,” jelasnya.

Tambah Salleh, pelaburan asing yang tinggi di negara ini juga membuktikan keyakinan para pelabur terhadap kestabilan politik dan ekonomi Malaysia.

Salleh berkata demikian ketika merasmikan Program Semarak Merdeka dan Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian di Dewan Kampung Tambulion Laut pada Ahad.

Pada majlis tersebut, Salleh menyampaikan sumbangan RM518 ribu kepada JKKK seluruh DUN Kadamaian serta meluluskan peruntukan RM100 ribu bagi membaik pulih dewan di kampung tersebut.

SHARE
Previous articleSambutan Hari Kebangsaan Disambut Meriah
Next articleSemua Rumah Pangsa Dilengkapi Sistem Pencegahan Vandalisme (AVS) – Noh