SHAH ALAM – Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) disaran menjadi mata dan telinga Kerajaan Persekutuan dalam menyalurkan maklumat mengenai masalah rakyat terutamanya membabitkan isu perbandaran.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar berkata ia kerana pengerusi JPP merupakan wakil masyarakat setempat yang dapat membantu Kerajaan Persekutuan mengenal pasti isu perbandaran bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat bandar.

“Setakat ini, kita mempunyai 2,272 pengerusi JPP seluruh negara dan mereka ini diibaratkan sebagai wakil rakyat kecil di satu-satu zon atau kawasan yang diwakili mereka.

“Kita mahu mereka ini menjadi harapan penduduk supaya isu-isu perbandaran itu dapat ditangani segera selain merujuk masalah itu kepada kementerian (KPKT),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Kursus kepada 269 Pengerusi JPP Selangor bagi sesi 2016-2018.

Turut hadir, Timbalan KPKT Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Mohammad Mentek.

Mengulas lanjut, Noh turut mengingatkan anggota JPP supaya memainkan peranan yang proaktif dalam tiga agenda utama iaitu menggalakkan penyertaan penduduk dalam program pembangunan kawasan setempat, meningkatkan sistem penyampaian kerajaan serta membantu mewujudkan hubungan baik dalam kalangan masyarakat setempat.

“Dianggarkan 70 peratus penduduk di negara ini tinggal di bandar dan kepesatan proses perbandaran akan menyebabkan isu perbandaran semakin kompleks.

Sebab itu saya mahu anggota JPP dengan penyertaan masyarakat melaksanakan pelbagai program termasuk yang berkaitan aspek keselamatan, kesihatan, kebersihan dan keindahan dalam kawasan komuniti masing-masing,” katanya. – BERNAMA

SHARE
Previous articleUsah Harap ‘Status Quo’ Dalam Agihan Kerusi – Noh
Next articlePulau Pinang Tidak Mengunapakai Garis Panduan KPKT – Noh